AGENDA

Beberapa restoran makanan segera berminat perkenal Menu Rahmah

14 Feb 2023, 1:44 PM
Beberapa restoran makanan segera berminat perkenal Menu Rahmah

KANGAR, 14 FEB: Beberapa restoran makanan segera menyatakan minat untuk turut sama mengambil bahagian dalam inisiatif yang menawarkan Menu Rahmah bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan B40 di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata selepas dua minggu program itu dilancarkan, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga menarik minat beberapa syarikat gergasi untuk terlibat sama.

“Ini ialah satu berita gembira buat rakyat Malaysia apabila restoran makanan segera telah menyatakan minat untuk turut sama memperkenalkan Menu Rahmah selepas Burger King menawarkan hidangan berharga RM5 sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Menu Rahmah Peringkat Negeri Perlis di Restoran BEKWOH di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Mohd Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah KPDN Perlis Norazah Jaapar.

Salahuddin berkata beberapa syarikat besar restoran makanan segera antarabangsa akan memberi kata putus berhubung inisiatif itu pada minggu hadapan.

“Mereka bercadang untuk memperkenalkan burger sebagai Menu Rahmah kerana ia lebih mudah untuk pelanggan khususnya bagi golongan muda,” katanya.

Burger King menjadi restoran makanan segera pertama yang menyahut inisiatif kerajaan dalam menyediakan menu makanan pada harga sederhana melalui pelaksanaan program Menu Rahmah dengan menawarkan burger ayam atau daging, berserta sayur dan sebotol air mineral.

Selain sektor makanan, Salahuddin berkata beberapa pemain industri antaranya tekstil dan perubatan turut menyatakan minat untuk menyertai program berkonsepkan Rahmah.

“Ada pihak industri yang berminat untuk memperkenalkan ‘Shopping Rahmah Raya’ bagi membantu rakyat membuat persiapan Aidilfitri dan perkara ini akan dibincangkan lebih lanjut untuk mengenal pasti apa yang boleh ditawarkan oleh pengusaha industri ini nanti,” katanya.

Beliau berkata terdapat beberapa pengusaha klinik swasta yang menyatakan minat untuk memperkenalkan konsep Rahmah seperti ujian saringan kesihatan pada harga serendah RM40 dan perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan terlebih dahulu.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619