AGENDA

Tarikh luput vaksin Covid-19 dipanjangkan - Dr Noor Hisham

10 Jan 2023, 10:39 AM
Tarikh luput vaksin Covid-19 dipanjangkan - Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 10 JAN: Tarikh luput vaksin Covid-19 yang digunakan di negara ini telah dipanjangkan tempohnya susulan penemuan data baharu mengenai kestabilan vaksin itu oleh syarikat pengeluar, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

"Bila NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) memberi kelulusan bersyarat, ada rolling submission seperti data-data terkini diberikan, kita lihat vaksin tersebut lebih stabil.

"Jadi (tarikh luput) vaksin itu kami panjangkan walaupun pada botol dah kata luput, kami panjangkan dalam enam bulan ke setahun bergantung pada data kestabilan yang kami terima dari syarikat (pengeluar)," katanya pada Sesi Libat Urus Menteri Kesihatan Bersama Media di sini hari ini.

Pada November lepas, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata NPRA telah meluluskan permohonan melanjutkan tempoh luput bagi vaksin CoronaVac dan Comirnaty, masing-masing bagi tempoh enam dan tiga bulan lagi berbanding tarikh asal yang dicetak pada label bebuli.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM Dr Saidatul Norbaya Buang pada sesi libat urus sama berkata secara purata pada masa ini sebanyak 7,000 suntikan dos penggalak kedua diberikan kepada penerima setiap hari.

Beliau berkata suntikan dos penggalak ditawarkan di 1,293 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara iaitu di 104 hospital KKM, 754 klinik kesihatan dan 435 PPV swasta.

Beliau berkata individu dalam kumpulan keutamaan boleh mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu atau secara ‘walk-in’ di hospital, klinik kesihatan atau PPV swasta, manakala kategori selain itu perlu membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera atau menelefon ke PPV swasta.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619