AGENDA

Tiada vaksin tamat tempoh, KKM pantau melalui pusat simpanan

10 Jan 2022, 6:47 AM
Tiada vaksin tamat tempoh, KKM pantau melalui pusat simpanan

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) memantau secara berterusan bekalan dan tarikh luput vaksin Covid-19 yang diterima oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM Norhaliza A Halim berkata pemantauan tersebut dilakukan dengan mengguna pakai Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) selain sistem inventori sedia ada yang terdapat di fasiliti terlibat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Berdasarkan semakan, tiada stok vaksin yang luput dibekalkan kepada PSV atau PPV," katanya dalam kenyataan merujuk kepada beberapa kiriman dan video yang dimuat naik dan ditularkan di media sosial berhubung dakwaan vaksin Covid-19 yang diberikan kepada penerima, sama ada telah luput atau hampir luput.

Norhaliza menjelaskan penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan pengilang pada masa nyata untuk suhu penyimpanan tertentu.

Katanya tempoh jangka hayat vaksin akan berubah sekiranya terdapat perubahan suhu penyimpanan dan tarikh luput baharu diberikan kepada produk tersebut berdasarkan permohonan pelanjutan jangka hayat yang dikemukakan pengilang kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai.

"Pelanjutan tempoh jangka hayat produk vaksin tersebut hanya akan diluluskan setelah hasil penilaian dapat mengesahkan ia memenuhi keperluan regulatori.

"Malah, ini juga terpakai kepada semua produk farmaseutikal lain yang sedia berdaftar," katanya.

Norhaliza berkata NPRA meluluskan permohonan pelanjutan jangka hayat bagi vaksin Comirnaty (Pfizer) daripada enam kepada sembilan bulan, vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran China (daripada sembilan kepada 12 bulan) dan vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran Pharmaniaga Lifescience, Malaysia (daripada enam kepada 12 bulan).

Beliau berkata NPRA juga meluluskan pelanjutan tempoh jangka hayat bagi produk vaksin Convidecia dari enam kepada 12 bulan pada 17 Dis tahun lepas.

"KKM komited memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 yang dibekalkan kepada penduduk dinilai dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

"Penilaian manfaat risiko bagi vaksin Covid-19 yang diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat dilaksanakan secara berterusan berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619