AGENDA

Tapir sesat di parkir tingkat lima hotel ditangkap, dihantar ke Zoo Melaka

1 Jan 2023, 9:51 AM
Tapir sesat di parkir tingkat lima hotel ditangkap, dihantar ke Zoo Melaka

MELAKA, 1 JAN: Seekor tapir dianggarkan seberat 250 hingga 290 kilogram ditemukan sesat di tingkat lima kawasan parkir kenderaan di sebuah hotel di Banda Hilir di sini hari ini, sebelum ditangkap dan dipindahkan ke Zoo Melaka.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Mohd Firdaus Mahmood berkata pihaknya bersama dengan petugas bomba mengambil masa kira-kira empat jam dalam operasi menangkap dan memindahkan haiwan itu.

"Perhilitan telah membuat pemerhatian dan cuba mengesan tapir itu sejak dua minggu lepas yang dipercayai sesat dari habitat asal iaitu kawasan hutan di utara Melaka yang bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Johor.

"Kita juga mendapat maklumat dan panggilan mengenai kewujudan tapir ini di beberapa tempat (sebelum ini) namun tidak berjaya dijejaki sehingga akhirnya ia ditemukan hari ini, sesat di tingkat lima, ia dipercayai naik ke tingkat atas mengikut laluan kenderaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pada mulanya 10 anggota Perhilitan digerakkan ke hotel berkenaan selepas menerima maklumat mengenai kemunculan haiwan itu, dan mereka menunggu tapir itu sehingga tenang dan stabil sebelum menangkapnya.

Katanya tapir itu mengalami luka kecil di bahagian kaki dan dipindahkan ke Zoo Melaka untuk dirawat sebelum dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak.

Sementara itu komander operasi bomba Melaka, Pegawai Bomba Kanan II Sopian Hassan berkata lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah digerakkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan mengenai kemunculan haiwan itu pada jam 9.04 pagi.

“Sejurus tiba lima minit kemudian di lokasi kita dapati ada seekor tapir di tingkat lima hotel dan meminta Perhilitan untuk menangkap haiwan itu. Operasi tamat pada pukul 2.30 petang," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619