AGENDA

Anwar mahu pulihkan keyakinan peniaga, pelabur asing

2 Dis 2022, 2:00 PM
Anwar mahu pulihkan keyakinan peniaga, pelabur asing

PUTRAJAYA, 2 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau sebenarnya ‘tidak cenderung’ untuk memegang jawatan Menteri Kewangan, namun menurutnya satu pendekatan perlu dilakukan untuk memulihkan keyakinan terhadap ekonomi, peniaga dan pelabur asing.

"Saya fikir pada peringkat permulaan ini biar saya teruskan,” katanya dan menambah, di Kementerian Kewangan beliau akan dibantu oleh pasukan mantap yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, penjawat awam serta para penasihat yang tidak membebankan kewangan kerajaan.

Beliau berkata urusan kerajaan di Kementerian Kewangan yang diterajuinya akan dibantu oleh beberapa penasihat yang tidak akan mengambil upah dan akan diketuai oleh Penasihat Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican.

Anwar berkata demikian dalam sidang media hari ini sejurus selepas mengumumkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan di sini, ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk memegang portfolio Menteri Kewangan,

Pada 25 Nov lepas, Anwar dilaporkan berkata tidak akan mempertimbang untuk memegang portfolio Menteri Kewangan bagi barisan Kabinetnya, namun akan melihat segala kemungkinan sebelum membuat keputusan akhir mengenainya.

Ditanya penjimatan yang dapat dilakukan melalui saiz Kabinet yang kecil, Anwar berkata ia dapat dilakukan sekiranya pembaziran dapat dielak serta perbelanjaan sia-sia dikurangkan, dan ia akan dimulakan oleh Pejabat Perdana Menteri.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619