AGENDA

Pemandu lori rempuh kenderaan di Tambak Johor ada 33 saman lampau

8 Jul 2022, 5:50 AM
Pemandu lori rempuh kenderaan di Tambak Johor ada 33 saman lampau

JOHOR BAHRU, 8 JULAI: Pemandu lori yang merempuh 11 kenderaan di Tambak Johor semalam mempunyai 33 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata lelaki berusia 34 tahun itu juga mempunyai enam saman yang masih belum dijelaskan.

"Saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif terhadap dadah," katanya yang dihubungi hari ini.

Pemandu tersebut kini direman tiga hari bermula hari ini dengan perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru Melody Woon Sze Mun.

Terdahulu, lelaki itu yang memakai kemeja-T berwarna hitam dan berseluar jeans biru, tiba di pekarangan Mahkamah Johor Bahru dalam keadaan bergari kira-kira 10 pagi.

Semalam, polis menahan seorang pemandu lori warga tempatan yang terlibat dalam kemalangan tersebut pada 1.15 tengah hari.

Hasil siasatan mendapati kemalangan pada 9.25 pagi itu berpunca daripada masalah teknikal yang dialami lori membawa muatan habuk batu berkenaan.

Raub dilaporkan berkata enam kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu merupakan kenderaan tempatan manakala enam lagi kenderaan asing.

Selain lori tersebut, sembilan kenderaan lain adalah kereta manakala masing-masing satu van dan bas.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619