AGENDA

Pameran Udara Selangor babit 43 pempamer tempatan, antarabangsa

23 Nov 2021, 2:44 PM
Pameran Udara Selangor babit 43 pempamer tempatan, antarabangsa

SUBANG, 23 NOV: Sebanyak 43 pempamer tempatan dan antarabangsa terlibat dalam Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis ini.

Ketua pegawai eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) berkata program dianjurkan pihaknya buat kali pertama di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark  di sini akan menampilkan 15 pesawat meliputi jet persendirian, helikopter dan pesawat ringan.

"Sebenarnya sasaran hanya untuk syarikat tempatan, namun kita turut menerima permintaan daripada syarikat antarabangsa yang berpangkalan di luar negara untuk menyertai pameran ini.

"Justeru, kami buat persiapan untuk menerima ketibaan pesawat yang dijangka tiba bermula malam ini dan esok," kata Dato' Hasan Azhari Idris ketika ditemui di pusat penerbangan tersebut hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak meletakkan sasaran tinggi iaitu sekitar 5,000 pelawat pada pameran sulung itu berikutan pintu sempadan negara masih belum dibuka sepenuhnya.

"Program ini dibuka berperingkat dengan dua hari pertama untuk pemain industri manakala hari terakhir bagi kunjungan orang awam terutama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kemasukan ke ruang pameran mengikut slot ditetapkan iaitu 500 pengunjung setiap jam bagi memudahkan kawalan sekali gus mengelak berlaku pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP)," katanya.

SAS 2021 dihoskan Kerajaan Selangor melalui Invest Selangor dengan mengangkat tema 'Selangor, the ASEAN Business and General Aviation Hub'.

Program itu mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619