AGENDA

Ingkar SOP: Polis tidak teragak cadang tutup pusat rekreasi

13 Sep 2021, 6:23 AM
Ingkar SOP: Polis tidak teragak cadang tutup pusat rekreasi

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap orang ramai sekiranya didapati tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), terutamanya penjarakan fizikal ketika beriadah di tempat awam.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Mastor Mohd Ariff berkata tindakan tersebut akan diambil sekiranya keadaan tidak dapat dikawal dan pengunjung terlalu ramai.

“Kita tidak ada cadangan untuk menutup tempat awam yang didapati sesak kerana kita telah menyemak dan mendapati pengunjung datang daripada gelembung yang sama. Kita hanya akan meningkatkan pemantauan di kawasan berkenaan.

“PDRM menyedari keghairahan orang ramai beriadah di sungai, padang dan pantai terutama melibatkan warga Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Justeru itu kita akan sentiasa membuat pemantauan dan hebahan dari semasa ke semasa dengan memberi nasihat agar mereka mematuhi SOP dan penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut bekerjasama dengan pihak RELA dalam Op Patuh untuk membuat pemantauan secara berkala di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan.

Mastor berkata kebanyakan yang berkunjung untuk beriadah dalam kalangan ahli keluarga yang datang bersama atau tinggal bersama dan lokasi berkenaan hanya sesak pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.

Terdahulu tular di media sosial beberapa video atau foto yang menunjukkan orang ramai bermandi-manda di sungai selain mengunjungi taman rekreasi tanpa penjarakan fizikal pada hujung minggu lepas.

Bermula Jumaat lepas, kerajaan telah memberi kelonggaran merentas daerah selepas Lembah Klang mula beralih ke Fasa 2 PPN, membuatkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi termasuk berkelah dan bersukan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619