Cegah tibi, masyarakat digesa jalani saringan awal

25 Feb 2026, 12:30 AM
Cegah tibi, masyarakat digesa jalani saringan awal

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Masyarakat digesa segera menjalani saringan awal bagi mengesan penyakit tuberkulosis (tibi) serta mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan imuniti badan berada pada tahap optimum untuk mencegah jangkitan itu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan (KKM) Dr. Ismuni Bohari berkata tindakan mendapatkan rawatan segera dan pengesanan awal adalah kunci utama bagi membolehkan pesakit sembuh sepenuhnya, sekali gus memutuskan rantaian jangkitan dalam komuniti.

Beliau berkata status jangkitan tibi di negara ini kekal stabil pada kadar antara 61 hingga 80 kes bagi setiap 100,000 penduduk sejak 2015, namun orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan tidak bersikap terlalu selesa.

"Tugasan kami di peringkat pencegahan adalah mengesan seramai mungkin individu yang berpotensi dijangkiti kes induk dan merawat mereka secepat mungkin. Lebih ramai yang dapat kita kesan dan rawat, lebih baik supaya mereka tidak terus menjangkiti orang lain.

"Paling penting, jaga imuniti badan dan amalkan gaya hidup sihat, kekal aktif serta tidak merokok. Bagi anak-anak kecil, pastikan mereka menerima suntikan imunisasi Bacillus Calmette-Guérin (BCG) sebagai perlindungan awal,” katanya dalam program bual bicara Ruang Bicara: Ancaman Tibi – Jangan Ambil Mudah terbitan Bernama TV, malam ini.

Selain itu, Dr. Ismuni menasihati individu yang bergejala supaya memakai pelitup muka atau menjalani saringan sebelum menghadiri aktiviti kemasyarakatan, khususnya di ruang tertutup, bagi melindungi individu lain yang mempunyai imuniti rendah.

Sementara itu, Pakar Perunding Respiratori Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Datuk Dr. Mat Zuki Mat Jaeb berkata penting juga untuk mengesan tibi pendam (latent TB), iaitu keadaan di mana kuman berada dalam badan tanpa menunjukkan sebarang gejala.

Beliau berkata kuman tibi boleh berada dalam badan selama bertahun-tahun dan hanya menjadi aktif apabila imuniti badan seseorang lemah akibat faktor usia atau penyakit kronik seperti kencing manis dan kegagalan buah pinggang.

"Tibi bukan sekadar batuk berpanjangan. Ia boleh menyerang organ lain, termasuk otak, yang boleh membawa maut atau menyebabkan kecacatan kekal seperti lumpuh jika lewat dirawat.

"Kita mempunyai kaedah saringan terbaru yang pantas, seperti ujian kulit tuberculin (Mantoux test) dan ujian darah, untuk mengesan kuman ini lebih awal. Rawatan tibi adalah percuma dan penyakit ini boleh sembuh sepenuhnya jika pesakit mematuhi rejim ubat yang ditetapkan," katanya.

Beliau turut mengingatkan pesakit supaya tidak menghentikan rawatan sesuka hati walaupun sudah berasa sihat bagi mengelakkan kuman menjadi kebal ubat atau Multi-Drug Resistant TB (MDR-TB), yang jauh lebih sukar dan mengambil masa lebih lama untuk dirawat.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619