Menteri: 85 peratus kes tibi libatkan rakyat tempatan

18 Feb 2026, 8:22 AM
Menteri: 85 peratus kes tibi libatkan rakyat tempatan
Menteri: 85 peratus kes tibi libatkan rakyat tempatan
Menteri: 85 peratus kes tibi libatkan rakyat tempatan
Menteri: 85 peratus kes tibi libatkan rakyat tempatan
Menteri: 85 peratus kes tibi libatkan rakyat tempatan

SHAH ALAM, 18 FEB: Sebanyak 85 peratus kes Tuberkulosis atau tibi yang direkodkan di negara ini membabitkan rakyat tempatan, sekali gus menepis persepsi bahawa penularan jangkitan itu berpunca daripada kemasukan warga asing.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hanya 15 peratus kes melibatkan warga asing.

Menurutnya, persepsi yang mengaitkan penularan tibi dengan golongan berkenaan adalah tidak tepat memandangkan majoriti kes berlaku dalam komuniti sendiri.

“Kuman Mycobacterium Tuberculosis ini sangat degil, namun berita baiknya, ia boleh dicegah, boleh dirawat dan boleh sembuh sepenuhnya jika dikesan awal serta pesakit patuh kepada rejimen rawatan antibiotik sekurang-kurangnya enam bulan.

“Sebagai langkah pencegahan, ibu bapa turut diseru memastikan anak-anak menerima imunisasi Bacillus Calmette-Guerin (BCG), di samping mengamalkan gaya hidup sihat dan memastikan pengudaraan rumah yang baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, selain jangkitan bakteria, faktor sosioekonomi seperti kesesakan tempat tinggal, kekurangan nutrisi dan keadaan persekitaran yang tidak sihat turut menyumbang kepada peningkatan risiko penularan penyakit berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai digesa supaya lebih cakna terhadap tanda awal jangkitan termasuk batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, peluh malam dan susut berat badan untuk segera mendapatkan pemeriksaan serta rawatan di klinik.

Pada masa sama, beliau turut menyeru masyarakat menghentikan stigma terhadap pesakit tibi kerana sokongan keluarga dan komuniti memainkan peranan penting dalam memastikan pesakit kekal patuh kepada rawatan.

Tambah Dr Dzulkefly, KKM juga komited memperkasakan strategi pengesanan aktif kerjasama antara agensi kerajaan akan terus diperkukuh bagi mengekang penularan penyakit tibi khususnya dalam kalangan rakyat tempatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619