Tiga rumah musnah 98 peratus dalam kebakaran di Bandar Baru Sungai Buloh

23 Feb 2026, 1:47 AM
Tiga rumah musnah 98 peratus dalam kebakaran di Bandar Baru Sungai Buloh
Tiga rumah musnah 98 peratus dalam kebakaran di Bandar Baru Sungai Buloh

SHAH ALAM, 23 FEB: Tiga rumah musnah hampir sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan 2/2, Bandar Baru Sungai Buloh, petang semalam.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.47 petang sebelum tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Setibanya pasukan di lokasi, api sedang marak dan melibatkan tiga rumah dengan anggaran kemusnahan sehingga 98 peratus, manakala sebuah rumah bersebelahan hanya terjejas kurang lima peratus,” menurut kenyataan di Facebook.

Menurut kenyataan itu, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos, satu breaching dan satu hose reel dengan empat nozel di bahagian hadapan serta belakang rumah.

Bantuan jentera turut diterima daripada BBP Damansara, BBP Rawang dan BBP Bukit Jelutong bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) 7500 Rosdi Hainan dengan pemantauan Pegawai Penguasa Bomba (PPgB) Abdul Rahman Che Pa selaku Komander Operasi Kanan.

“Pemeriksaan menyeluruh dilakukan bagi memastikan api benar-benar padam dan tiada bahaya susulan,” menurut kenyataan itu lagi.

Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan, namun seramai 15 penghuni terjejas akibat kebakaran tersebut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.25 malam dan semua anggota serta jentera kembali ke balai.

Pihak bomba menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah keselamatan kebakaran di rumah bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619