Tutup suis elektrik, injap tong gas sebelum balik kampung - Bomba

14 Mac 2026, 12:08 AM
Tutup suis elektrik, injap tong gas sebelum balik kampung - Bomba

SELAYANG, 14 MAC: Orang ramai yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri diingatkan supaya memastikan kediaman ditinggalkan dalam keadaan selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang berkata pemilik perlu memastikan suis peralatan elektrik dimatikan serta mencabut palam sebelum meninggalkan rumah.

“Injap silinder gas juga perlu ditutup selain pintu dan tingkap rumah dikunci dengan kemas serta tidak meninggalkan barang berbahaya di dalam rumah.

“Sekiranya anda ingin pulang ke kampung, pastikan keadaan rumah anda berada dalam keadaan selamat untuk ditinggalkan, tong gas atau perkakas eletrik yang tidak digunakan dimatikan,” kata Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Akmal Mohamad Khairi

Beliau ditemui pada Majlis Iftar Warga Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Anfaal Saari, semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Akmal berkata pengguna jalan raya perlu memastikan kenderaan diselenggara dengan baik termasuk memeriksa keadaan minyak enjin, tekanan angin tayar serta komponen penting lain sebelum memulakan perjalanan.

“Selain kebakaran, kemalangan juga adalah salah satu bencana. Jadi kita minta untuk sentiasa peka dan jangan lalai, lupa atau leka,” katanya.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail berkata orang ramai diingatkan tidak leka terhadap aspek keselamatan ketika meninggalkan rumah atau dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.

Menurutnya JBPM Selangor terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran awam melalui Program Kempen Keselamatan Kebakaran ‘Siap Siaga Raya’ bagi memastikan tahap keselamatan kekal optimum sepanjang musim perayaan.

Selain itu, hanya 20 peratus anggota JBPM Selangor dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri tahun ini, manakala selebihnya akan bertugas bagi memastikan kesiapsiagaan jabatan itu kekal pada tahap optimum sepanjang musim perayaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619