Anwar tegur pihak guna agama pecah belah rakyat

22 Feb 2026, 1:57 PM
Anwar tegur pihak guna agama pecah belah rakyat

SHAH ALAM, 22 FEB: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur segelintir pihak yang menggunakan kedudukan sebagai tokoh agama untuk menimbulkan permasalahan sekali gus memecah-belahkan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Perdana Menteri berkata, tindakan berselindung di sebalik nama agama itu hanya mencetuskan polemik serta merosakkan keharmonian dan usaha membangunkan negara, lapor Berita Harian.

Katanya, meskipun Islam sebagai agama rasmi di Malaysia namun beliau tetap memberi jaminan hak serta kebebasan beragama kepada kaum lain seperti yang dipersetujui dalam kerangka Perlembagaan.

"Malaysia ini Islam adalah agama Persekutuan. (Majoriti rakyatnya) beragama Islam. Tetapi kita terima hak semua kaum dan semua agama dan kita setuju ikrar untuk jamin masa depan dengan aman, bersama semua kaum dan hak semua agama.

"Baru boleh aman. Jadi bagi saya majoriti termasuk pemimpin-pemimpin agama itu perlu mengambil sikap positif," katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan, di Masjid Wilayah Persekutuan. hari ini.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai peluncuran program yang dijalinkan bersama Kementerian Belia dan Sukan serta Hal Ehwal Agama itu, Anwar berkata beliau senang melihat tokoh muda di kedua-dua kementerian itu hanya memberi fokus kepada masa depan negara.

"Ini menteri, baru nampak idea dia hebat, dia pakat (kerjasama) pula dengan menteri agama. Jadi saya senang bila begitu, kita ada tokoh-tokoh muda yang tidak sibuk dalam isu yang memecah belahkan tapi gunakan Ramadan dan Madrasah untuk mengangkat darjat kemanusiaan dan keimanan kita.

"Ia secara positif adalah sesuatu yang membina kerana dalam negara ini bagilah fakta baik sebanyak mana pun, STR (Sumbangan Tunai Rahmah), SARA, pertumbuhan yang tinggi, pengangguran yang rendah, inflasi yang rendah, pelaburan yang tinggi tetapi semua itu akan terpadam kerana kita tumpu hanya pada permasalahan titik bengik yang boleh memecahkan di antara kita," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619