Penganggur didakwa bunuh gelandangan wanita diarah jalani pemeriksaan mental

20 Feb 2026, 7:30 AM
Penganggur didakwa bunuh gelandangan wanita diarah jalani pemeriksaan mental

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan seorang penganggur yang didakwa membunuh wanita gelandangan di Sentul, di sini, untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan mengeluarkan perintah supaya Syed Faizal Syed Alwi, 46, menjalani ujian psikiatri selepas Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memaklumkan kepada mahkamah bahawa pegawai penyiasat melaporkan tertuduh dipercayai tidak waras.

Syed Faizal didakwa membunuh seorang wanita yang tidak dikenal pasti identitinya di hadapan sebuah premis di Jalan Sentul, dekat sini, antara 6.35 dan 6.36 pagi, 9 Feb lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan jika tidak dihukum gantung.

Mahkamah menetapkan 19 Mac ini untuk sebutan semula kes serta laporan penilaian psikiatri.

Pada 10 Feb lepas, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata polis telah menahan seorang suspek berusia 46 tahun susulan penemuan mayat seorang wanita gelandangan dipercayai dibunuh di Jalan Sentul pada 9 Feb lepas.

Beliau berkata mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 50-an hingga 60-an ditemukan terbaring dengan kecederaan parah pada bahagian kepala dan kematian disahkan pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan fizikal mendapati mangsa mengalami luka sepanjang empat sentimeter pada bahagian kepala sebelah kanan atas telinga serta bengkak pada kelopak mata,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619