Angin kencang terbangkan khemah bazar Ramadan, tiada kecederaan dilapor

19 Feb 2026, 3:44 PM
Angin kencang terbangkan khemah bazar Ramadan, tiada kecederaan dilapor

SHAH ALAM, 19 FEB: Beberapa khemah di Bazar Ramadan Santai BTP (Bandar Tasik Puteri) di Rawang diterbangkan angin kencang susulan hujan lebat petang tadi.

Kejadian jam 4.30 petang itu turut mengakibatkan makanan, minuman untuk dijual dan kelengkapan peniaga rosak namun tidak melibatkan kemalangan jiwa selain keadaan kembali terkawal tidak lama kemudian.

Penganjur bazar, Muhammad Faezee Abu Bakar berkata, pihaknya segera menyediakan khemah gantian hasil lebihan sumbangan penaja bagi membantu peniaga terjejas.

“Keadaan cuaca antara cabaran utama selain pengurusan trafik serta pemantauan kebersihan dan keselamatan makanan, namun kami yakin semuanya dapat dikendalikan dengan baik,” katanya, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, bazar berkenaan menjadi perhatian kerana tampil dengan deretan gerai melebihi satu kilometer, sekali gus menjadi antara bazar terpanjang di negara ini dengan lebih 300 tapak gerai.

Low Yat Group selaku penganjur dan penaja utama dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Bank Islam Malaysia Bhd serta Jawatankuasa Penduduk Zon 18 berhasrat untuk memperkenalkan Bandar Tasik Puteri sebagai kawasan yang semakin pesat berkembang kepada masyarakat umum.

Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati suasana bazar kembali meriah dengan kehadiran pengunjung menjelang waktu berbuka puasa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619