Empat lelaki ditahan bantu siasatan kes ceroboh kuil

12 Feb 2026, 12:40 AM
Empat lelaki ditahan bantu siasatan kes ceroboh kuil

SHAH ALAM, 12 FEB: Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pencerobohan sebuah kuil di Rawang semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata penahanan itu dilakukan susulan aduan seorang lelaki tempatan berhubung kejadian meroboh kuil yang dibina tidak mengikut peraturan di kawasan berkenaan.

“Siasatan mendapati sebahagian kuil telah dirobohkan tanpa ada perbincangan serta tiada pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengadu sebelum aktiviti pembersihan tersebut dilakukan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Shazeli berkata empat lelaki yang ditahan itu berusia 26 hingga 39 tahun dan pihaknya turut merampas sebuah traktor pertanian (backhoe).

Beliau berkata satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427/295/504/447 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta kekal rasional dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum, agama atau mengganggu ketenteraman awam.

“Polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan adil berlandaskan lunas undang-undang,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Eqhmal Hakimi Zainodin 013-6117371 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-61262222.

Terdahulu, media melaporkan seorang aktivis kempen membantah kuil yang dibina tidak mengikut peraturan ditahan polis selepas disyaki merobohkan kuil di Taman Rawang Perdana pagi semalam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619