Pameran Merge Is Bolder 2026 jadi platform industri nilai bakat pelajar

15 Feb 2026, 3:01 AM
Pameran Merge Is Bolder 2026 jadi platform industri nilai bakat pelajar
Pameran Merge Is Bolder 2026 jadi platform industri nilai bakat pelajar
Pameran Merge Is Bolder 2026 jadi platform industri nilai bakat pelajar

SHAH ALAM, 15 FEB: Pameran Merge Is Bolder 2026 memberi peluang kepada wakil industri menilai bakat pelajar secara langsung, sekali gus membantu mereka memahami kehendak sebenar dunia pekerjaan.

Seorang pengunjung, Abdul Malik Ridhwan Adam, 27, berkata kualiti hasil kerja yang dipamerkan menunjukkan perkembangan positif dan berpotensi bersaing dengan produk sedia ada di pasaran.

“Pameran ini memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklum balas sebenar daripada bakal majikan dan pihak luar, sekali gus membantu mereka memahami tahap kualiti kerja yang diperlukan dalam industri.

“Pada masa sama, pelajar perlu terus bergerak ke hadapan dan tidak mudah berputus asa, kerana tidak semua orang akan terus memahami cara kita menampilkan kreativiti,” katanya kepada Media Selangor.

Pengunjung, Amirah Badarulhisham dalam majlis perasmian MERGE Graphic Design Showcase 2025/2026 di Pusat Konvensyen MBSA Shah Alam pada 14 Febuari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Seorang lagi pengunjung, Amirah Badarulhisham, 22, menyifatkan karya yang dipamerkan menarik dan menepati trend semasa industri kreatif.

“Program seperti ini juga dapat menjadi persediaan awal yang sangat baik untuk pelajar sebelum melangkah ke dunia industri sebenar, terutamanya dari segi keyakinan diri, cara mempersembahkan idea serta memahami kehendak pasaran,” tambahnya.

Pandangan sama turut dikongsi oleh Nursyafiq Naser, 30, yang melihat pameran itu sebagai medium penting untuk pelajar memperkenalkan kreativiti kepada bakal majikan dan klien.

“Tidak dinafikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) juga telah banyak melahirkan graduan yang kreatif dan berkualiti, sekali gus membantu industri mendapatkan bakat baharu.

“Pada masa sama, pelajar perlu lebih meneroka persekitaran sekeliling, menimba pengalaman serta menambah pengetahuan bagi mendapatkan lebih banyak idea baharu,” katanya.

Pengunjung, Nursyafiq Naser dalam majlis perasmian MERGE Graphic Design Showcase 2025/2026 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 14 Febuari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Program Merge Is Bolder 2026 merupakan pameran projek tahun akhir pelajar Seni Reka Grafik dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, anjuran Jabatan Grafik dan Media Digital UiTM Puncak Alam.

Melibatkan seramai 133 pelajar, pameran ini menjadi platform untuk mereka mempamerkan hasil karya serta mendapatkan maklum balas profesional daripada industri serta membuat persediaan awal menghadapi realiti industri dan landskap ekonomi baharu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619