Siasatan isu pemilikan saham libat Azam Baki telah bermula - peguam negara

14 Feb 2026, 9:23 AM
Siasatan isu pemilikan saham libat Azam Baki telah bermula - peguam negara

SHAH ALAM, 14 FEB: Jawatankuasa Khas Siasatan telah memulakan siasatan berhubung isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, lapor Sinar Harian.

"Siasatan telah pun bermula. Sebagai langkah permulaan, kami sedang mengumpul maklumat berkaitan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mohd Dusuki telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan terbabit pada Jumaat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata, turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Jawatankuasa ini akan melaksanakan siasatan secara terperinci bagi memberikan pengadilan yang sewajarnya kepada pihak yang disiasat.

Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri serta Pihak Berkuasa Tatatertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tatacara yang sewajarnya.

Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam pada sidang medianya baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham berkenaan yang dibeli tahun lalu sudah dilupuskan dalam tahun yang sama.

Susulan itu, Azam Baki, menegaskan beliau bersedia untuk disiasat oleh kerajaan berhubung isu pegangan saham yang didakwa dimilikinya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619