Ekspo Infrastruktur Antarabangsa Selangor 2026 September ini pamer projek negeri

13 Feb 2026, 1:00 AM
Ekspo Infrastruktur Antarabangsa Selangor 2026 September ini pamer projek negeri
Ekspo Infrastruktur Antarabangsa Selangor 2026 September ini pamer projek negeri
Ekspo Infrastruktur Antarabangsa Selangor 2026 September ini pamer projek negeri
Ekspo Infrastruktur Antarabangsa Selangor 2026 September ini pamer projek negeri
Ekspo Infrastruktur Antarabangsa Selangor 2026 September ini pamer projek negeri

SHAH ALAM, 13 FEB: Kerajaan Selangor merancang menganjurkan Ekspo Infrastruktur Antarabangsa Selangor berskala besar pada September ini bagi memberi peluang kepada rakyat melihat sendiri kemajuan serta perancangan prasarana negeri.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata ekspo julung kali yang memfokuskan sepenuhnya portfolio infrastruktur itu dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City sempena sambutan Jubli Perak DYMM Sultan Selangor.

Menurut beliau, antara komponen yang akan dipamerkan termasuk pembangunan jalan raya, tenaga, logistik, pengurusan cerun serta pengurusan air merangkumi sumber air mentah, air terawat, kumbahan dan mitigasi banjir.

"Matlamat kita adalah untuk berkongsi dengan rakyat Selangor mengenai pencapaian dan bagaimana kita membina masa depan yang lebih baik.

"Rakyat boleh melihat bagaimana Kerajaan Negeri menguruskan cabaran infrastruktur di negeri yang pesat membangun, mempunyai populasi tinggi serta menjadi lokasi infrastruktur utama negara seperti lapangan terbang dan pelabuhan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Inovasi Teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor 2026, di Bangunan SUK, semalam. Hadir sama Pengarahnya, Dato’ Ir Mohd Nazri Yasmin.

EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berucap ketika Program Hari Teknikal dan Innovasi Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor 2026 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Februari 2026. HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Mengulas lanjut, Izham mengakui cabaran besar bagi menguruskan infrastruktur di Selangor memandangkan keadaan geografi negeri selain tekanan urbanisasi yang semakin rancak.

"Penyediaan infrastruktur bukan mudah dan memerlukan dana yang besar. Justeru, aspek teknikal dan inovasi teknologi sangat penting untuk memastikan setiap dana digunakan secara efektif.

"Melalui ekspo ini nanti, kita mahu tunjukkan kepada masyarakat awam bagaimana inovasi diguna pakai dalam menyelesaikan masalah rakyat supaya mereka boleh menghargai usaha yang dilaksanakan," tambahnya.

Menyentuh penganjuran Hari Inovasi Teknikal JPS itu, Izham menyifatkan ia sebagai 'pemanas badan' atau gambaran awal (teaser) menuju ke arah penganjuran ekspo sebenar pada September nanti.

"Hari ini kita kongsi kejayaan Jabatan Pengairan dan Saliran dalam menguruskan integrasi banjir dan pantai. Namun pada bulan September nanti, skalanya lebih besar melibatkan semua pemain industri prasarana termasuk agensi seperti JKR, Air Selangor dan syarikat utiliti.

"Kita harap dapat realisasikan impian ini sebagai satu penghormatan sempena Jubli Perak DYMM Sultan Selangor, sekali gus membuktikan ketelusan Kerajaan Negeri dalam tadbir urus pembangunan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619