Sembilan kontena mengandungi e-sisa, sisa terjadual dirampas di Pelabuhan Klang

12 Feb 2026, 2:31 AM
Sembilan kontena mengandungi e-sisa, sisa terjadual dirampas di Pelabuhan Klang
Sembilan kontena mengandungi e-sisa, sisa terjadual dirampas di Pelabuhan Klang
Sembilan kontena mengandungi e-sisa, sisa terjadual dirampas di Pelabuhan Klang

PELABUHAN KLANG, 12 FEB: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memintas sembilan kontena mengandungi sisa elektronik (e-sisa) dan bahan terlarang lain dalam pemeriksaan bersepadu di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang semalam.

Operasi kira-kira jam 3 petang itu diketuai Komander Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal di tapak pemeriksaan pengimbas CT1 pelabuhan berkenaan.

Beliau berkata pemeriksaan di bawah Ops Green Shield melibatkan 10 kontena yang ditandakan untuk pemeriksaan fizikal, dengan sembilan daripadanya didapati membawa barangan tidak dibenarkan.

“Daripada 10 kontena diperiksa, tujuh mengandungi pelbagai jenis e-sisa, satu mengandungi sisa terjadual disyaki sanga aluminium dan satu lagi dimuatkan dengan sekerap plastik serta kertas bercampur.

“Hanya satu kontena membawa jentera industri didapati teratur dan tidak mengandungi barangan terlarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SIRIM Berhad, Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Antara barangan ditemui dalam kontena e-sisa ialah CPU terpakai, pencetak, mesin faks, mesin fotostat, papan kekunci serta komponen jentera berat. Penghantaran berkenaan berasal dari beberapa pelabuhan di Amerika Syarikat termasuk Los Angeles, Norfolk, California dan New York.

Nik Ezanee berkata satu kontena diisytiharkan mengandungi e-sisa dan sekerap logam serta dikaitkan dengan pengimport tempatan.

Selain itu, satu kontena didapati membawa sisa terjadual disyaki sanga aluminium seberat lebih 23,000 kilogram, manakala sebuah lagi mengandungi 20,474 kilogram sekerap plastik dan kertas bercampur.

“Pengimportan sisa terjadual adalah dilarang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Bahan sedemikian boleh mendatangkan risiko kepada alam sekitar dan kesihatan awam jika tidak diuruskan dengan betul,” katanya.

Beliau berkata keseluruhan rampasan membabitkan berat 195,720 kilogram dengan Amerika Syarikat dikenal pasti sebagai negara pengeksport.

Semua kontena berkenaan ditempatkan di kawasan simpanan selamat sementara menunggu arahan lanjut JAS di peringkat negeri dan persekutuan bagi tujuan pengeksportan semula.

“MCBA akan terus mempergiat pemeriksaan terhadap kontena disyaki membawa sisa terlarang dan kekal komited memperkukuh kawalan di pintu masuk negara,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619