AKPS rampas 10 kontena sisa elektronik, plastik di Pelabuhan Klang

14 Feb 2026, 4:49 AM
AKPS rampas 10 kontena sisa elektronik, plastik di Pelabuhan Klang
AKPS rampas 10 kontena sisa elektronik, plastik di Pelabuhan Klang
AKPS rampas 10 kontena sisa elektronik, plastik di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 14 FEB: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang merampas enam kontena sisa elektronik (e-sisa) dan empat kontena sisa plastik seberat 216,726 kilogram yang dibawa masuk dari Amerika Syarikat di Pelabuhan Klang, semalam.

Komandernya, Deputi Komisioner Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata rampasan dibuat susulan pemeriksaan fizikal terhadap 15 kontena di tapak pemeriksaan CFS 4, Pelabuhan Klang Barat, kira-kira jam 9 pagi.

Menurut beliau, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SIRIM Berhad, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

“Hasil pemeriksaan mendapati enam kontena berisi e-sisa dan empat kontena mengandungi sisa plastik.

“Antara barangan ditemui ialah unit pemproses pusat (CPU), penghawa dingin terpakai, campuran sisa elektronik dan logam sekerap, campuran plastik bersama sisa elektronik, kepingan sisa elektronik serta alat ganti kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semakan mendapati semua kontena berkenaan dibawa masuk ke negara ini antara Disember 2024 hingga Julai tahun lalu dengan jumlah keseluruhan berat 216,726 kilogram.

Menurutnya, kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kontena e-sisa akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada JAS Selangor dan JAS pusat bagi tujuan eksport semula (re-export),” katanya.

Dalam pemeriksaan berasingan di lokasi sama, AKPS turut menggagalkan cubaan membawa masuk produk hasilan haiwan iaitu aiskrim dari China yang tidak selaras dengan pengisytiharan dalam Borang K1.

Beliau berkata, pengimport mengisytiharkan dagangan sebagai ‘frozen dumpling’, namun pemeriksaan fizikal mendapati barangan sebenar ialah aiskrim dari China.

“Rampasan dianggarkan bernilai RM59,276.82 dengan berat 17,580 kilogram. Pemeriksaan mendapati dagangan itu cuba dibawa masuk tanpa permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang sah.

“Sitaan dibuat bagi memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan makanan dan kepentingan kesihatan awam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] atas kesalahan mengimport tanpa permit MAQIS yang sah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619