PM: Tolak ansur politik demi keutuhan, kesatuan bangsa majmuk

8 Feb 2026, 12:24 AM
PM: Tolak ansur politik demi keutuhan, kesatuan bangsa majmuk

JAKARTA, 8 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kompromi politik seringkali dilakukan untuk menjaga keutuhan dan kesatuan bangsa yang majmuk.

Beliau menegaskan bahawa realiti politik menuntut penyelesaian yang nyata, tidak bergantung kepada teori atau idealisme yang bersifat abstrak.

Beliau berkata realiti politik tidak bersifat steril kerana ia sering melibatkan pertembungan pemikiran dan kepentingan.

Anwar berkata Menteri Koordinator Bidang Hukum, Hak Asasi Manusia, Imigrasi dan Pemasyarakatan Indonesia, Prof Dr Yusril Ihza Mahendra merupakan antara tokoh yang memahami hakikat itu secara mendalam.

“Sebagai pakar di bidang undang-undang, Yusril memahami bagaimana perlembagaan membentuk struktur negara yang menekankan kedaulatan rakyat, demokrasi serta prinsip semak dan imbang antara institusi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran lapan buku Rekam Jejak 70 tahun Prof Dr Yusril Ihza Mahendra, Menteri Koordinator Bidang Hukum, Hak Asasi Manusia, Imigrasi dan Pemasyarakatan Indonesia, di sini semalam.

Teks ucapan Anwar dibacakan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka.

Menurut Anwar, sebagai sarjana politik dan pemikir, Yusril turut memahami bagaimana dinamika politik bergerak seiring perubahan sosial dan geopolitik.

“Dalam konteks itulah Yusril menempatkan Islam sebagai norma dan nilai-nilai universal yang dapat menjiwai kehidupan berbangsa dan bernegara,” katanya.

Anwar turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari ulang tahun ke-70 kepada Yusril.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619