Tiga sindiket dadah tumpas, rampasan cecah RM208 juta

6 Feb 2026, 10:12 AM
Tiga sindiket dadah tumpas, rampasan cecah RM208 juta

SHAH ALAM, 6 FEB: Tiga sindiket pengedaran dadah lumpuh dalam tiga siri serbuan sekitar Lembah Klang bermula 30 Januari hingga Khamis lalu, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM208.25 juta.

Menerusi operasi berkenaan, polis menahan 13 individu, termasuk warga asing, yang dipercayai berperanan sebagai dalang utama, keldai dadah serta penghantar bagi sindiket terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata kejayaan itu hasil pelaksanaan Operasi (Op) Apiocera, Op Diogma dan Op Allograpta.

Menurut beliau, rampasan terbesar direkodkan menerusi Op Apiocera melibatkan serbuan ke atas sebuah rumah teres di Kepong, Kuala Lumpur dan sebuah unit kondominium di Subang Jaya, Selangor dari 31 Januari hingga 2 Februari lalu.

“Dalam operasi itu, polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing serta merampas dadah bernilai kira-kira RM180 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini, lapor Berita Harian.

"Polis menemui 30 bungkusan plastik dan 20 guni berisi serbuk MDMA seberat 8.43.8 kilogram (kg), pil erimin 5 (325.2 kg), pil ekstasi (104.3 kg), ketamin (97.7 kg) dan methamphetamine (9.5 kg).

Hussein berkata sindiket itu diketuai oleh seorang lelaki tempatan yang mengatur pengedaran dadah ke dalam dan luar negara dengan dibantu dua wanita sebagai ahli sindiket.

Selain dadah, polis turut menyita tiga kenderaan iaitu Toyota Alphard, Honda Accord dan Perodua Myvi dengan nilai sitaan keseluruhan RM118,800.

Dalam perkembangan sama, Hussein berkata polis turut membongkar sindiket penyeludupan bunga ganja ke luar negara menerusi Op Diogma pada 2 dan 3 Februari lalu, membabitkan penahanan enam individu termasuk dua warga Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Hasil operasi itu, polis merampas 188 kilogram bunga ganja dengan nilai dianggarkan RM15 juta,” katanya.

Sementara itu, menerusi Op Allograpta, polis berjaya memintas penghantaran 265 kilogram methamphetamine bernilai RM13.25 juta, dengan penahanan tiga lelaki tempatan dan menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak termasuk ‘jerung’ dadah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619