Polis rampas dadah 6.2 tan bernilai RM1.04 bilion didalangi warga Asia Timur

26 Dis 2025, 7:20 AM
Polis rampas dadah 6.2 tan bernilai RM1.04 bilion didalangi warga Asia Timur

KAJANG, 26 DIS: Polis berjaya melumpuhkan sindiket dadah antarabangsa yang didalangi warga Asia Timur dengan merampas dadah seberat 6.2 tan, dianggarkan bernilai RM1.04 bilion, menerusi serbuan Op Gaharu 2.0 di sekitar Lembah Klang pada 21 Dis lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata berkata serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan penahanan enam individu termasuk tiga wanita menerusi Op Gaharu 1.0 pada 16 Dis lepas.

Katanya serbuan pertama pada 21 Dis di Taman Industri Selasa Jaya, Seri Kembangan berjaya merampas 5,983.36 kilogram (kg) cecair dan 207.74 kg serbuk putih kedua-duanya disyaki Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA).

Pada hari sama, pasukan bertindak menyerbu sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong dan merampas 20.273 kg serbuk disyaki kokain serta 1.252 kg serbuk putih disyaki ketamin.

“Rampasan keseluruhan dianggarkan seberat 6,212 kg bernilai RM1.04 bilion dan jumlah dadah dirampas mampu merosakkan seramai 20.7 juta pengguna," katanya pada sidang media di Balai Polis Semenyih di sini, hari ini.

Hussein berkata siasatan mendapati sindiket berkenaan membawa masuk ahli kimia dan bahan prekursor dari luar negara serta menggunakan koordinator dan ahli sindiket warga tempatan bagi memproses dadah. Beliau menyifatkan ia sebagai sindiket terbesar yang pernah ditumpaskan.

Menurutnya, sindiket itu mengendalikan 14 kilang dan 10 rumah kediaman yang diubahsuai menjadi makmal pemprosesan dan stor penyimpanan dadah, dengan setiap premis disewa pada harga antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan.

Sindiket dipercayai menggunakan Malaysia sebagai pusat memproses dadah sebelum mengedarkannya ke beberapa destinasi luar negara termasuk Hong Kong dan Australia serta mempunyai lebih 12 ahli termasuk dalang dan beroperasi sejak Januari lepas.

“Berdasarkan peralatan yang dirampas, jelas operasi ini dijalankan pada skala yang sangat besar dan kita akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa negara berkaitan serta Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki dan menahan baki ahli sindiket termasuk dalang utama,” katanya.

Selain itu, Hussein berkata siasatan turut mendapati sindiket terbabit turut menjalankan aktiviti penipuan dalam talian selepas satu daripada premis yang diserbu dijadikan pusat panggilan penipuan di Kajang dekat sini pada 21 Dis lepas

Seramai 14 orang ditahan dan kes terbabit diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk siasatan lanjut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619