Industri kesihatan swasta, MyDigital ID antara isu dibangkit Dewan Rakyat hari ini

4 Feb 2026, 12:50 AM
Industri kesihatan swasta, MyDigital ID antara isu dibangkit Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Status terkini pelaksanaan kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) dalam industri kesihatan swasta, usaha meningkatkan penggunaan produk tempatan dalam pelaburan serta penggunaan MyDigital ID terhadap golongan rentan antara perkara yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Rodziah Ismail (PH-Ampang) dalam sesi soal jawab lisan meminta Menteri Kesihatan menyatakan status terkini pelaksanaan sistem DRG dalam industri kesihatan swasta serta langkah kawal selia dan pemantauan bagi memastikan pengendali insurans atau takaful tidak campur tangan dalam keputusan perubatan pakar dan doktor.

Pada sesi sama, Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengemukakan soalan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berhubung langkah jangka pendek, sederhana dan panjang yang dirancang kerajaan bagi meningkatkan penggunaan produk tempatan dalam semua pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).

Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan bagaimana kementerian memastikan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), penduduk luar bandar serta Orang Asli tidak terpinggir sekiranya perkhidmatan keselamatan dan imigresen bergantung kepada MyDigital ID sepenuhnya.

Usai sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh kementerian-kementerian berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 20 hari hingga 3 Mac ini.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619