24 peniaga di Petaling, Sepang terima bantuan alatan niaga bernilai lebih RM170,000

3 Feb 2026, 6:43 AM
24 peniaga di Petaling, Sepang terima bantuan alatan niaga bernilai lebih RM170,000
24 peniaga di Petaling, Sepang terima bantuan alatan niaga bernilai lebih RM170,000

SHAH ALAM, 3 FEB: Petaling dan Sepang antara daerah terawal menerima Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, melibatkan 24 peniaga dengan peruntukan melebihi RM170,000.

EXCO pembasmian kemiskinan berkata seramai 18 peniaga di Sepang menerima bantuan bernilai RM129,500, manakala enam peniaga di Petaling melibatkan peruntukan RM41,157.

Menurut V Papparaidu, semua bantuan peralatan akan diagihkan kepada penerima selewat-lewatnya Jun ini, sebelum diteruskan dengan fasa seterusnya pada Oktober.

“Bantuan Blueprint ini disalurkan dalam bentuk barangan perniagaan seperti kelengkapan memasak, mesin jahit dan rak jualan.

“Bagi Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin pula, peruntukan RM253,000 telah diluluskan di Petaling melibatkan dua projek bina baharu dan dua baik pulih,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, bagi daerah lain, perbincangan akan diadakan sepanjang minggu ini bagi menentukan jumlah penerima.

Terdahulu, Papparaidu memaklumkan sejumlah RM2 juta diperuntukkan bagi Bantuan Blueprint, manakala program I-SEED menerima peruntukan RM1 juta.

Sementara itu, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin turut menerima peruntukan RM2 juta bagi meningkatkan keselesaan kediaman, termasuk untuk komuniti Orang Asli.

Beliau berharap bantuan tersebut dapat menstabilkan kehidupan keluarga dari segi tempat tinggal dan sumber rezeki, sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah serta memperkukuh ekonomi komuniti setempat.

Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan diperkenalkan bagi meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian peralatan atau mesin perniagaan.

Manakala program I-SEED, yang dilancarkan pada April 2021, bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India menerusi bantuan peralatan mengikut jenis perniagaan yang diusahakan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619