Rumah terbuka Aidilfitri DUN Banting dianjur secara sederhana

16 Mac 2026, 3:10 PM
Rumah terbuka Aidilfitri DUN Banting dianjur secara sederhana
Rumah terbuka Aidilfitri DUN Banting dianjur secara sederhana
Rumah terbuka Aidilfitri DUN Banting dianjur secara sederhana

BANTING, 16 MAC: Rumah terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting akan tetap diteruskan tahun ini namun dilaksanakan secara sederhana dengan mengambil kira aspek penjimatan.

Ahli Dewan Negeri Banting V Papparaidu berkata sambutan itu masih wajar diadakan walaupun terdapat saranan supaya perbelanjaan bagi penganjuran rumah terbuka dikurangkan.

Menurutnya, pendekatan sederhana membolehkan tradisi Aidilfitri terus diraikan tanpa membebankan mana-mana pihak.

"Walaupun saranan penjimatan oleh kerajaan perlu diambil kira, sambutan rumah terbuka Aidilfitri masih boleh diteruskan dengan pendekatan yang lebih sederhana.

"Perayaan seperti ini memberi peluang kepada masyarakat untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan silaturahim," katanya.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu ditemui media dalam majlis Iftar Peringkat DUN Banting di Hotel Villea, Morib pada 16 Mac 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau yang juga EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan ditemui pada Majlis Iftar Ramadan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Banting yang dihadiri kira-kira 115 wakil pelbagai agensi termasuk Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), ketua kampung, penghulu serta ketua komuniti India di Villea Morib, di sini, hari ini.

Menurutnya, sambutan Aidilfitri bukan sahaja menjadi platform memperkukuh hubungan komuniti, malah memberi kegembiraan kepada kanak-kanak yang dapat merasai kemeriahan suasana perayaan bersama keluarga dan masyarakat setempat.

Tambah beliau, rumah terbuka tersebut akan dilaksanakan menggunakan peruntukan sedia ada tanpa membebankan mana-mana pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Saya menjemput mana-mana pihak yang berkelapangan untuk hadir, dan saya tidak meminta sebarang sumbangan daripada mana-mana agensi kerana memahami kekangan kewangan yang dihadapi.

"Program ini akan dilaksanakan secara sederhana menggunakan peruntukan yang ada supaya masyarakat masih dapat bersama-sama menyambut Aidilfitri," katanya.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Banting dijadual berlangsung pada 4 April di Dewan Orang Ramai Sungai Manggis dan dijangka menghimpunkan kira-kira 2,000 hingga 3,000 pengunjung terdiri daripada masyarakat setempat serta wakil pelbagai agensi kerajaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619