Imigresen guna dron termal, tahan 218 warga asing cuba lolos

30 Jan 2026, 12:50 AM
Imigresen guna dron termal, tahan 218 warga asing cuba lolos
Imigresen guna dron termal, tahan 218 warga asing cuba lolos

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 218 warga asing dalam Operasi Sapu Bersepadu di Taman Emas, Cheras malam ini dengan bantuan teknologi dron termal bagi mengesan individu yang cuba bersembunyi, termasuk di atas bumbung bangunan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli, berkata penggunaan teknologi itu berjaya mengesan kira-kira 15 warga asing yang bersembunyi di atas bumbung premis rumah kedai untuk mengelak ditahan.

Beliau berkata operasi yang dijalankan dari 6 petang hingga 8.30 malam itu melibatkan pemeriksaan ke atas 1,087 individu di premis perniagaan serta tempat penginapan di bahagian atas bangunan.

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 218 warga asing berusia antara 18 hingga 53 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen,” katanya pada sidang media di lokasi operasi.

Beliau berkata operasi hasil risikan selama kira-kira dua minggu itu melibatkan 279 pegawai JIM dan 10 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Lokman Effendi berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 166 lelaki dan 52 wanita, melibatkan warga Myanmar (78), Bangladesh (56), Indonesia (44), Nigeria (12), Nepal (10), India (5), Sri Lanka (4) dan lain-lain negara (9).

Beliau berkata semua tahanan akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih bagi siasatan lanjut atas pelbagai kesalahan, termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, menggunakan kad yang tidak diiktiraf, serta kesalahan lain di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Setakat semalam, sebanyak 1,069 operasi penguatkuasaan telah dijalankan di seluruh negara, melibatkan pemeriksaan terhadap 17,793 individu, termasuk 3,691 pendatang asing tanpa izin dan 110 majikan yang ditangkap.

Beliau mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak menggaji atau melindungi warga asing tanpa dokumen sah kerana tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terbabit.

Pada masa sama, Lokman Effendi menasihatkan pendatang asing tanpa izin supaya mengambil peluang menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 yang akan tamat pada April 2026, bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan lebih ketat selepas itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619