Kos bina bilik darjah naik ketara sejak 2021, cecah RM520,000 sebuah

29 Jan 2026, 1:37 AM
Kos bina bilik darjah naik ketara sejak 2021, cecah RM520,000 sebuah

SHAH ALAM, 29 JAN: Kos pembinaan sebuah bilik darjah di sekolah kerajaan meningkat ketara kepada RM280,000 hingga RM520,000 bagi tempoh 2021 hingga 2026, berbanding RM180,000 hingga RM250,000 antara tahun 2016 hingga 2020.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata peningkatan itu berdasarkan dokumen As Tendered Detailed Abstract (ATDA) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan hanya melibatkan kos pembinaan blok bangunan asas.

“Anggaran kos tersebut hanya melibatkan pembinaan blok bangunan seperti bilik darjah, tangga, koridor dan tandas, dan tidak merangkumi keseluruhan komponen pembinaan sekolah baharu,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) yang ingin mengetahui kos sebuah bilik darjah mengikut komponen kos, jenis sekolah, lokasi bagi tahun 2015 hingga 2025.

Menurut beliau, kos keseluruhan pembinaan sekolah sebenarnya jauh lebih tinggi kerana turut melibatkan kerja awalan, kerja tanah, pembangunan infrastruktur lengkap, bayaran fi profesional serta caj pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, pembinaan kemudahan sokongan seperti blok pentadbiran, blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bilik-bilik khas, padang, serta penyediaan perabot, peralatan dan perkakasan mengikut piawaian pendidikan juga menyumbang kepada peningkatan kos projek.

Fadhlina menjelaskan kos projek boleh meningkat dengan ketara di kawasan tertentu, khususnya apabila melibatkan keperluan logistik, pembangunan infrastruktur luar, urusan utiliti dan perolehan kelengkapan.

“Di beberapa kawasan, peningkatan kos projek adalah berpandukan Jadual Kadar Harga 2025 yang disediakan oleh JKR,” katanya.

Mengulas tempoh pelaksanaan projek, beliau berkata fasa prabina bermula daripada kelulusan projek sehingga pengeluaran Surat Setuju Terima (SST), bergantung kepada kaedah pelaksanaan serta keperluan Pengurusan Nilai selaras dengan Pekeliling Kementerian Ekonomi Bilangan 1 Tahun 2024.

"Bagi fasa pembinaan pula, tempoh siap projek ditetapkan mengikut Piagam Pelanggan JKR yang dikemas kini pada Januari 2025.

"Sebagai contoh, projek dengan kos melebihi RM25 juta diperuntukkan tempoh pembinaan selama 36 bulan," katanya.

Namun begitu, Fadhlina menegaskan tempoh tersebut bersifat dinamik dan boleh berubah bergantung kepada kekangan di tapak bina.

“Tempoh pembinaan boleh berubah berdasarkan keadaan sebenar di tapak projek,” katanya.

Sejak tahun 2010, sebanyak 55 projek sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dikenal pasti mengambil masa lebih lima tahun untuk disiapkan.

“Ia melibatkan satu projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), empat projek Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan 50 projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11),” katanya.

Menurut Fadhlina, kelewatan projek berpunca daripada prestasi kontraktor yang lemah sehingga kontrak terpaksa ditamatkan, selain gangguan besar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 hingga 2021.

Beliau berkata cabaran logistik dan kekurangan sumber, khususnya bagi projek di kawasan pedalaman, turut menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan.

“Kementerian Pendidikan terus memberi tumpuan penuh bagi memastikan semua projek ini dapat disiapkan dengan segera supaya dapat dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619