UNICEF: Masa depan generasi Palestin terancam akibat serangan Israel ke atas pendidikan Gaza

29 Jan 2026, 1:25 AM
UNICEF: Masa depan generasi Palestin terancam akibat serangan Israel ke atas pendidikan Gaza

GENEVA, 29 JAN: Jurucakap Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), James Elder memberi amaran bahawa serangan berterusan Israel terhadap sektor pendidikan di Gaza selama hampir dua setengah tahun kini meletakkan masa depan keseluruhan generasi rakyat Palestin dalam risiko, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Bercakap dalam taklimat media mingguan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, beliau mengumumkan bahawa pertubuhan itu sedang berusaha memperluas akses pendidikan di Semenanjung Gaza sebagai sebahagian daripada usaha pendidikan kecemasan terbesar di dunia.

Elder memberi amaran bahawa 60 peratus kanak-kanak dalam usia sekolah di Gaza kini tidak menerima pendidikan secara bersemuka, memandangkan 90 peratus bangunan sekolah telah rosak atau musnah sepenuhnya.

Beliau mengimbas kembali bahawa sebelum perang tercetus, penduduk Palestin di Gaza mempunyai antara kadar celik huruf tertinggi di dunia, yang mana pendidikan menjadi sumber kebanggaan, ketabahan dan kemajuan bagi setiap generasi.

Pegawai PBB itu menegaskan bahawa legasi berkenaan kini terancam hebat apabila sekolah, universiti dan perpustakaan dimusnahkan, sekali gus memadamkan kemajuan yang dibina bertahun-tahun lamanya. Beliau menyifatkan perkara itu bukan sekadar kemusnahan fizikal, tetapi serangan terhadap masa depan itu sendiri.

Penilaian terbaharu PBB berdasarkan imej satelit pada Julai mendapati sekurang-kurangnya 97 peratus sekolah mengalami kerosakan.

Elder berkata UNICEF akan memperluas program "kembali belajar" untuk mencapai 336,000 kanak-kanak, sambil menegaskan keutamaan mendesak adalah untuk mengembalikan kanak-kanak ke alam pendidikan tanpa berlengah, termasuk menggunakan khemah di pusat komuniti memandangkan mereka tidak boleh menunggu bangunan kekal siap dibina.

Beliau menekankan bahawa pembelajaran mampu menyelamatkan nyawa, selain menyatakan pusat pendidikan UNICEF menyediakan ruang selamat di kawasan yang sering dianggap berbahaya.

Beliau berkata pusat-pusat berkenaan memulihkan akses kepada maklumat penting, menyediakan rutin harian untuk kanak-kanak, menghubungkan mereka kepada perkhidmatan kesihatan, pemakanan dan perlindungan, serta menyediakan kemudahan tandas dan tempat mencuci tangan yang sempurna.

Elder berkata kebanyakan kemudahan pendidikan yang disokong oleh UNICEF akan ditempatkan di bahagian tengah dan selatan Gaza, memandangkan akses ke bahagian utara masih sangat sukar berikutan kemusnahan besar-besaran yang dialami dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619