Status KD Maharajalela, kawal selia umur media sosial tumpuan Dewan Rakyat hari ini

28 Jan 2026, 12:13 AM
Status KD Maharajalela, kawal selia umur media sosial tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Status kemajuan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) KD Maharajalela dan proses kawal selia penentusahan umur di platform media sosial antara perkara yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang rasmi Parlimen, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) dalam sesi soal jawab lisan meminta Menteri Pertahanan menyatakan status prestasi sea trial LCS 1 dan sama ada kapal itu dapat ditauliahkan mengikut jadual seawal Ogos tahun ini.

Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) pula melontarkan soalan kepada Menteri Komunikasi berhubung cadangan kerajaan untuk mengawal selia proses penentusahan umur bagi platform media sosial memandangkan ia melibatkan pemberian butiran peribadi warganegara kepada platform asing yang berpangkalan di luar negara.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) menyoal Menteri Belia dan Sukan mengenai sebab Malaysia tiada stadium bertaraf antarabangsa serta universiti khusus untuk sukan, dan pelan kerajaan bagi membina fasiliti moden agar atlet negara tidak ketinggalan di pentas global.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dijangka memberi penjelasan mengenai perkembangan semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada sesi Penerangan Menteri.

Selepas sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Ahli Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 20 hari hingga 3 Mac depan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619