Di sebalik video menarik hasil suntingan kreatif dan idea segar yang tular di media sosial, kehidupan pencipta kandungan sebenarnya tidak semudah yang dilihat.
Ramai dalam kalangan pempengaruh ini bergelut untuk sentiasa menghasilkan karya baharu yang mampu menarik perhatian pengguna.
Tekanan untuk kekal relevan, mengejar ‘trend’ dan menghasilkan kandungan yang berpotensi menjadi tular boleh memberi kesan kepada kesihatan mental jika tidak diurus dengan baik.
Bagi sesetengah individu, keadaan itu akhirnya membawa kepada keletihan melampau atau ‘burnout’.
Tidak terkecuali, personaliti TikTok berkaitan fesyen dan kecantikan - Auntie Purple - yang tampil dengan pelbagai koleksi yang didominasi oleh warna ungu.
Selain itu, warga kegemarannya juga boleh dilihat pada perabot rumah, barangan elektrik, pakaian, tudung, kereta selain gaun perkahwinan yang dipakainya hampir 24 tahun lalu.
Pemilik nama Noor Suhaili Mohamed Amin itu berkata, mereka yang terlibat dalam dunia digital perlu belajar menjaga keseimbangan diri agar tidak tenggelam dalam tekanan menghasilkan kandungan tanpa henti.
Kemampuan mengurus emosi dan memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat merupakan kunci untuk terus bertahan dalam industri yang bergerak pantas itu.
“Kalau tak nak ‘burnout’ memang kena tenang… kena sayang diri sendiri. Kita buat setakat yang kita mampu,” katanya ketika program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Wanita berusia 48 tahun itu menjelaskan antara punca tekanan yang sering berlaku dan tidak disedari adalah budaya membandingkan diri dengan pencipta kandungan lain di media sosial.
“Apabila seseorang terlalu kerap melihat video yang dianggap hebat atau sedang ‘trending’, mereka mungkin terdorong untuk menghasilkan kandungan di luar kemampuan sendiri.
“Kalau kita rasa stres, tak payah tengok TikTok dulu. Setengah hari ke, satu hari ke… kita rileks dulu. Tengok TV, tengok drama. ‘Refresh’ balik minda,” ujarnya.
Wanita asal Gombak itu turut berkongsi beliau sendiri pernah mengambil masa sehari tanpa memegang telefon bimbit bagi menenangkan fikiran sebelum kembali menghasilkan kandungan.
Dua minggu suntingan
Berkongsi pengalaman peribadi, pengusaha butik pengantin itu mendedahkan pernah menghabiskan masa sehingga 14 hari untuk menyunting sebuah video yang dirasakan sangat menarik.
Namun selepas dimuat naik, video tersebut tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.
“Kita rasa video tu gempak sangat… tapi sebenarnya tak pada penonton. Tetapi tidak mengapa, asalkan kita berpuas hati dan bangga dengan hasil itu,” katanya.
Pengalaman sebegitu merupakan sebahagian daripada realiti dunia pencipta kandungan. Tidak semua usaha yang dilakukan akan mendapat perhatian besar atau menjadi tular.
Situasi tersebut mengajar seseorang untuk tidak terlalu bergantung kepada jumlah tontonan atau reaksi penonton semata-mata sebagai ukuran kejayaan.
Mula aktif menghasilkan kandungan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac 2021, Noor Suhaili menasihatkan golongan muda yang bercita-cita menjadi pempengaruh media sosial tidak menjadikan populariti sebagai matlamat utama.
Baginya, kerjaya sebagai pencipta kandungan mempunyai pasang surut dan tidak semestinya membawa kejayaan segera seperti yang sering digambarkan di media sosial.
“Kita jangan janji viral. Nak jadi ‘influencer’, jadilah ‘influencer’ yang berilmu. Ada beza ‘influencer’ yang berilmu dengan yang tidak,” tegasnya.
Pencipta kandungan yang berkualiti bukan sahaja menghasilkan video menarik, tetapi juga membawa mesej dan nilai positif kepada masyarakat.
Beliau yang pernah tercalon dalam beberapa anugerah berkaitan media sosial berkata pengaruh yang baik lebih penting berbanding sekadar mengejar populariti sementara.
“Dunia digital akan terus berkembang dan membuka peluang kepada ramai individu untuk berkarya.
“Namun mereka perlu bijak mengurus tekanan, menjaga kesihatan mental dan kekal berpijak pada realiti agar dapat bertahan dalam industri tersebut untuk jangka masa panjang.”








