RS-2 dibentang tahun ini, cipta nilai ekonomi RM500 bilion

26 Jan 2026, 9:53 AM
RS-2 dibentang tahun ini, cipta nilai ekonomi RM500 bilion

SHAH ALAM, 23 JAN: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang dibentangkan tahun ini merangkumi pelbagai agenda pembangunan negeri dan dijangka mencipta nilai ekonomi sehingga RM500 bilion.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berharap jelajah RS-2 dapat dilaksanakan segera supaya semua pihak dapat bekerjasama memastikan rancangan pembangunan lima tahun negeri ini berjalan lancar, difahami, dan dihayati sepenuhnya.

“Tahun ini pentadbiran dan seluruh pasukan kita akan bentangkan RS-2. Ini akan menjadi program kita bersama. Bukan program Amirudin, bukan program setiausaha negeri, EXCO atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. 

“Kalau ahli majlis, ketua kampung tak tahu tentang RS-2, saya percaya program akan berjalan tetapi tidak menjadi unsur penyatuan atau membangkitkan kesepakatan dalam kalangan rakyat,” katanya berucap di Majlis Amanat Tahun Baharu 2926 hari ini.

Minggu lalu, Amirudin berkata RS-2 yang bermula tahun ini mengekalkan kesinambungan kerjasama kerajaan-swasta (PPP) bagi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar, berimpak tinggi, mampan dan inklusif.

RS-2 adalah kesinambungan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), 2021-2025, dokumen pertama seumpamanya di peringkat negeri di Malaysia.

Pelan pembangunan lima tahun itu diperkenal pentadbiran negeri bagi memenuhi keperluan jangka pendek dan membina daya tahan yang kukuh pada masa depan.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata beberapa program penting juga berjalan tahun ini dengan fokus kepada sambutan Jubli Perak mengingati 25 tahun pentadbiran dan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj termasuk pelaksanaan Rumpun Selangor edisi khas.

Menerusi program berkenaan, beliau berkata Duli Yang Teramat Mulis Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah akan menjelajah ke sembilan daerah, justeru Amirudin meminta semua pihak dapat memberikan kerjasama sebaiknya.

Beliau turut mengingatkan semua untuk memberikan komitmen penuh terhadap penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung Ogos depan dan menjadi acara yang sentiasa diingati.

“Bukan sahaja tuan rumah SUKMA tetapi juga Sukan Solidariti Islam 2029. Orang datang kepada kita bukan hanya untuk sukan tetapi juga melancong dan pergi ke tempat-tempat lain.

“Kita kena pastikan Ogos nanti, kita akan berjaya menangis sebarang isu pentadbiran atau pengurusan supaya SUKMA 2026 menjadi SUKMA yang diingati, beri kesan kepada penyatuan dan perpaduan rakyat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619