AGENDA

MB: Rancangan Selangor kukuhkan ekonomi, jamin kesejahteraan rakyat

11 Dis 2022, 8:25 AM
MB: Rancangan Selangor kukuhkan ekonomi, jamin kesejahteraan rakyat

KLANG, 11 DIS: Pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) merupakan keputusan berani untuk memacu negeri ke arah pengukuhan ekonomi, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata pelan pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang itu memfokuskan pengukuhkan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan sosial, memacu kelestarian dan memantapkan tadbir urus.

"Pembangunan ekonomi negeri terus meningkat yang mana Selangor menyumbang 24.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar  (KDNK) pada tahun lalu dan mengekalkan penyumbang terbesar negara.

"Ini bermaksud hampir satu perempat daripada kekayaan ekonomi negara adalah hasil daripada aktiviti ekonomi di Selangor. Namun, pentadbiran ini tidak leka dan mengambil keputusan berani untuk membentangkan RS-1.

"Malah, Kerajaan Negeri juga berusaha mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan separa bandar menerusi Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE-SMG)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan sembah taat setia sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-77 di Balairung Seri, Istana Alam Shah hari ini.

RS-1 menumpukan pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, pembangunan lestari, sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta efisien.

Ia turut mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pentadbiran negeri juga komited memperkukuhkan perpaduan untuk memastikan keharmonian kaum terus dipelihara.

"Generasi muda hari ini bukan sahaja merupakan gambaran masa hadapan negara, tetapi juga mampu menentukan masa depan negara mulai sekarang. Oleh itu, penglibatan generasi muda dalam merealisasi agenda Kerajaan akan terus diarusperdanakan.

"Malah, Selangor juga memegang kepada prinsip pembangunan secara berhemah dan mampan untuk memastikan alam sekitar terus dipelihara dan tidak diabaikan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619