Remaja maut, tujuh cedera kemalangan lapan motosikal

25 Jan 2026, 10:10 AM
Remaja maut, tujuh cedera kemalangan lapan motosikal

BUKIT MERTAJAM, 25 JAN: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lapan motosikal di Kilometer 8.2 Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) arah Kulim awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 3.30 pagi yang berlaku di laluan kereta.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua lapan motosikal berkenaan sedang bergerak dari Seberang Jaya menghala ke Kulim.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal dipercayai telah bergesel sesama sendiri menyebabkan penunggang hilang kawalan sebelum terbabas dan mengakibatkan motosikal lain berlanggar antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Helmi berkata pelanggaran itu mengakibatkan seorang penunggang terjatuh ke bahu kiri jalan sebelum merempuh besi penghadang jalan yang memisahkan lorong motosikal dan lorong kereta.

Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian serta mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

“Tujuh lagi penunggang berusia antara 18 hingga 22 tahun dirawat di hospital sama selepas mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki,” katanya.

Helmi berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619