Australia nyahaktif lebih 4.7 juta akaun media sosial kanak-kanak bawah 16 tahun

16 Jan 2026, 8:02 AM
Australia nyahaktif lebih 4.7 juta akaun media sosial kanak-kanak bawah 16 tahun

CANBERRA, 16 JAN: Lebih 4.7 juta akaun media sosial milik kanak-kanak di Australia dinyahaktifkan dalam beberapa hari pertama pelaksanaan larangan media sosial untuk mereka berumur bawah 16 tahun yang pertama kali dilaksanakan di dunia, menurut kerajaan persekutuan pada Jumaat, lapor Xinhua.

Data yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya eSafety kerajaan menunjukkan syarikat media sosial menyekat akses kepada kira-kira 4.7 juta akaun yang dikenal pasti sebagai milik kanak-kanak bawah 16 tahun dalam tempoh beberapa hari selepas larangan itu berkuat kuasa pada 10 Dis lepas.

Perdana Menteri Anthony Albanese berkata perkembangan awal itu menggalakkan apabila syarikat media sosial mengambil “usaha bermakna” untuk mematuhi larangan berkenaan.

“Perubahan tidak berlaku sekelip mata. Tetapi tanda-tanda awal ini menunjukkan bahawa penting untuk kami mengambil tindakan untuk melaksanakan perubahan ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Pesuruhjaya eSafety Julie Inman Grant berkata beliau “sangat berpuas hati” dengan keputusan awal itu, namun mengakui terdapat laporan bahawa sebahagian akaun milik kanak-kanak di bawah had umur masih kekal aktif.

Kerajaan tidak mendedahkan jumlah akaun yang dinyahaktifkan oleh setiap 10 platform yang terlibat dalam larangan itu, termasuk TikTok, X dan YouTube.

Meta mengumumkan pada Isnin bahawa ia menyahaktifkan lebih 544,000 akaun di platform Facebook, Instagram dan Threads setakat 11 Dis lalu.

Di bawah undang-undang yang diluluskan Parlimen Australia pada 2024, syarikat media sosial yang gagal mengambil langkah munasabah untuk menguatkuasakan larangan itu boleh dikenakan denda sehingga AUD49.5 juta (kira-kira US$33.17 juta).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619