AGENDA

Jamu cendawan beracun, wanita Australia dituduh bunuh keluarga mentua

7 Jul 2025, 3:04 PM
Jamu cendawan beracun, wanita Australia dituduh bunuh keluarga mentua

SYDNEY, 7 JULAI: Seorang wanita Australia didapati bersalah pada Isnin atas tiga pertuduhan membunuh selepas menghidangkan makan tengah hari yang mengandungi cendawan beracun kepada tetamunya iaitu keluarga mentua, lapor agensi berita Jerman dpa.

Juri mendapati Erin Patterson bersalah atas tiga pertuduhan membunuh dan satu pertuduhan cubaan membunuh selepas dia menghidangkan hidangan Beef Wellington pada Julai 2023, menurut laporan media Australia.

Dia sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan berhujah bahawa insiden itu adalah satu tragedi yang tidak disengajakan.

Patterson didapati bersalah atas pertuduhan membunuh membabitkan kematian bekas ibu bapa mentuanya, Don dan Gail Patterson, serta adik Gail, Heather Wilkinson, yang merupakan ibu saudara kepada suami Patterson. Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di hospital beberapa hari selepas menikmati hidangan tersebut.

Dia turut didapati bersalah atas pertuduhan cubaan membunuh terhadap Ian, suami kepada Heather, yang dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal tetapi berjaya diselamatkan.

Sepanjang tempoh dua bulan, juri mendengar keterangan lebih 50 saksi termasuk ahli keluarga Patterson dan Wilkinson, pakar perubatan, pakar kulat dan Erin Patterson sendiri.

Patterson, yang ditahan pada November 2023, akan terus ditahan sementara menunggu tarikh hukuman dan berdepan kemungkinan dipenjara selama beberapa dekad.

-- BERNAMA-dpa

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619