Kompresor penyaman udara meletup: Seorang maut, sembilan cedera

12 Jan 2026, 8:40 AM
Kompresor penyaman udara meletup: Seorang maut, sembilan cedera

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Jumlah mangsa insiden letupan kompresor penyaman udara di HELP University di Bukit Damansara pagi tadi, meningkat kepada 10 orang dengan seorang daripadanya maut. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata mangsa yang maut merupakan lelaki tempatan berusia 24 tahun dan bekerja dengan syarikat kontraktor penyaman udara, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Perkembangan terbaharu mendapati seorang lagi mangsa dikenal pasti menjadikan keseluruhan 10 individu terlibat berbanding sembilan yang dilaporkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata lapan daripada mangsa merupakan rakyat tempatan manakala dua lagi warga asing.

Daripada lapan warga tempatan seorang lelaki yang merupakan pekerja syarikat kontraktor maut manakala dua lagi mengalami kecederaan parah.

Beliau berkata lima lagi warga tempatan yang cedera terdiri daripada masing-masing dua penuntut lelaki dan perempuan serta seorang juruteknik dengan tahap kecederaan berbeza-beza.

“Sementara itu, dua warga asing terlibat ialah lelaki Indonesia yang bekerja sebagai pekerja kafeteria dan mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Fadil berkata semua sembilan mangsa sedang menerima rawatan di pelbagai hospital berdekatan termasuk di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh.

Sebelum ini, Fadil dilaporkan berkata polis menerima panggilan kecemasan mengenai insiden letupan di kawasan penyelenggaraan bersebelahan kafeteria di tingkat empat bangunan universiti swasta itu pada 11.40 pagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Hassan 'As'ari Omar semasa dihubungi berkata pemeriksaan awal mendapati letupan berpunca daripada kebocoran gas penyaman udara dan pasukan siasatan masih berada di lokasi kejadian.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian pagi tadi mendapati dua ekor anjing Unit Pengesan K9 JBPM turut digunakan dalam operasi menyelamat itu.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619