Insiden letupan: HELP University, pihak berkuasa bekerjasama kenal pasti punca

12 Jan 2026, 2:30 PM
Insiden letupan: HELP University, pihak berkuasa bekerjasama kenal pasti punca

KUALA LUMPUR, 12 JAN: HELP University sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, pemilik dan pengurusan bangunan bagi mengenal pasti punca insiden letupan semasa kerja penyelenggaraan sistem penyaman udara di kampus universiti itu di Bukit Damansara pagi tadi.

Universiti itu dalam kenyataan memaklumkan, bangunan yang terlibat akan kekal ditutup sehingga siasatan rasmi selesai dijalankan.

“Sebagai institusi yang komited menyediakan persekitaran selamat bagi pelajar dan seluruh warga kampus, kami akan segera menjalankan pemeriksaan dalaman bagi memastikan keselamatan dan integriti bangunan lain di Kampus Bukit Damansara serta Kampus Subang Bestari.

“Kami ingin menegaskan bahawa operasi dan kelas di Kampus Subang Bestari akan diteruskan seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

HELP University turut memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan pasukan perubatan untuk memastikan semua yang terjejas menerima rawatan dan bantuan sewajarnya, selain berhubung dengan ahli keluarga mereka untuk memberikan sokongan serta bantuan yang diperlukan.

“Pelajar dan ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau bantuan boleh menghubungi saluran komunikasi dalaman yang telah disediakan,” menurut kenyataan itu.

HELP University juga memaklumkan, pelajar dan petugas di kampus telah dipindahkan dengan segera mengikut protokol kecemasan sejurus insiden berlaku, sebelum pihak perkhidmatan kecemasan tiba tidak lama selepas dimaklumkan.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara di sebuah universiti swasta kira-kira 11.40 pagi tadi

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang pekerja syarikat kontraktor warga tempatan berusia 24 tahun.

Fadil berkata letupan dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619