Malaysia terus perjuang, suarakan hak kedaulatan semua negara - PM

5 Jan 2026, 7:22 AM
Malaysia terus perjuang, suarakan hak kedaulatan semua negara - PM

PUTRAJAYA, 5 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan terus memperjuang dan menyuarakan hak kedaulatan semua negara terutama yang pernah dijajah selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata pendirian Malaysia itu sejajar dengan kedudukannya sebagai negara sedang membangun yang sentiasa menghormati prinsip undang-undang antarabangsa.

"Menyentuh tentang kenyataan saya terkait dengan apa yang berlaku di Venezuela menunjukkan bahawa Malaysia walaupun negara berkembang, adalah negara yang bebas dan berdaulat, tunduk kepada prinsip hukum dan tatanan kerukunan antarabangsa.

"Sebab itulah kita mengambil satu pendirian yang tuntas atau konsisten sama ada di Gaza atau Venezuela... pemimpin-pemimpin kita dahulu daripada awal menentang aparteid di Afrika Selatan dan memperjuangkan kemerdekaan bagi semua negara yang pernah dijajah," katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Semalam, Anwar menyifatkan penahanan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan isteri dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Caracas sebagai sesuatu yang luar biasa.

Perdana Menteri, yang meluahkan kebimbangan dengan perkembangan itu dan menyifatkan tindakan AS sebagai melanggar undang-undang antarabangsa, berkata penggunaan kekerasan terhadap sebuah negara berdaulat dengan menyingkirkan ketua kerajaan melalui campur tangan luar adalah sesuatu yang tidak wajar.

Pasukan AS telah menahan sebelum menerbangkan pasangan itu keluar dari Venezuela pada awal Sabtu lepas dalam satu operasi waktu malam dan menurut pengumuman Presiden Donald Trump, AS akan mentadbir Venezuela sehingga satu “peralihan yang selamat, wajar dan berhemah” dapat dilaksanakan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619