KKM: Dos kelahiran Hepatitis B kekal demi lindungi bayi

24 Dis 2025, 9:34 AM
KKM: Dos kelahiran Hepatitis B kekal demi lindungi bayi
KKM: Dos kelahiran Hepatitis B kekal demi lindungi bayi
KKM: Dos kelahiran Hepatitis B kekal demi lindungi bayi
KKM: Dos kelahiran Hepatitis B kekal demi lindungi bayi

PUTRAJAYA, 24 DIS: Dos kelahiran vaksin Hepatitis B akan terus dikekalkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan walaupun terdapat perkembangan terkini di Amerika Syarikat, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan keputusan itu dibuat selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), walaupun Advisory Committee on Immunisation Practices (ACIP) di AS melalui undian bersetuju menghentikan pelaksanaan universal birth dose vaksin Hepatitis B.

“Pemberian dos kelahiran vaksin Hepatitis B dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran amat penting bagi mencegah penularan virus Hepatitis B daripada ibu kepada bayi.

"Jangkitan Hepatitis B pada peringkat awal kehidupan berisiko tinggi menyebabkan jangkitan kronik, yang seterusnya boleh membawa kepada sirosis hati dan kanser hati pada masa dewasa,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan pelaksanaan dos kelahiran vaksin Hepatitis B di Malaysia telah terbukti berkesan sejak 1989 dalam mengurangkan kadar jangkitan Hepatitis B dalam kalangan kanak-kanak serta menyumbang kepada perlindungan kesihatan jangka panjang rakyat.

Langkah itu juga selaras dengan komitmen global untuk mencapai sasaran eliminasi Hepatitis B sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.

KKM menegaskan bahawa keputusan dasar imunisasi negara adalah berdasarkan bukti saintifik, data epidemiologi tempatan dan global serta pandangan pakar.

“Sebarang perubahan kepada dasar ini hanya akan dipertimbangkan sekiranya terdapat bukti kukuh dan konsensus antarabangsa yang menyokongnya,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KKM mengingatkan semua ibu bapa dan penjaga untuk memastikan bayi mereka menerima vaksin Hepatitis B dos kelahiran mengikut jadual ditetapkan demi melindungi anak-anak daripada jangkitan yang boleh dicegah melalui vaksin.

“KKM akan terus memantau situasi Hepatitis B di negara ini dan memastikan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan kekal selamat, berkesan dan berasaskan bukti,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619