Titah Adendum: Hormati keputusan mahkamah, jangan keruhkan suasana - Anwar

23 Dis 2025, 2:22 AM
Titah Adendum: Hormati keputusan mahkamah, jangan keruhkan suasana - Anwar

SHAH ALAM, 23 DIS: Perdana Menteri menyeru semua pihak menghormati keputusan mahkamah berhubung isu titah adendum selain mengingatkan jangan mengeruhkan suasana atau menambahkan ketegangan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak wajar menghormati keputusan dibuat hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Saya menyeru semua pihak agar menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana.

“Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Madani kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa.

“Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim,” katanya.

Mahkamah Tinggi di sini semalam, menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawah tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.

Dalam penghakimannya, Loke memutuskan bahawa titah adendum itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah tidak sah.

Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619