Najib fail rayuan terhadap hukuman penjara, denda kes 1MDB

30 Dis 2025, 5:23 AM
Najib fail rayuan terhadap hukuman penjara, denda kes 1MDB

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata notis tersebut difailkan pada malam 29 Dis. Perkara itu turut disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib.

Rayuan itu mencabar sabitan yang dibacakan Jumaat lalu oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion dana milik kerajaan.

Bagi pertuduhan penyalahgunaan kuasa, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan serta denda keseluruhan sebanyak RM11.4 bilion, atau dipenjara 40 tahun jika gagal membayarnya.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikenakan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan tanpa sebarang denda dikenakan.

Bekas perdana menteri berusia 72 tahun itu hanya akan menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Hukuman ini akan berkuat kuasa selepas Najib selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun bagi kes membabitkan SRC International, yang akan berakhir pada 23 Ogos 2028.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619