Final Jelajah Dunia 2025: Tang Jie-Ee Wei terkandas di separuh akhir

20 Dis 2025, 12:58 PM
Final Jelajah Dunia 2025: Tang Jie-Ee Wei terkandas di separuh akhir

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Hasrat peminat untuk menyaksikan wakil negara di pentas akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF 2025 tidak kesampaian selepas beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terkandas di peringkat separuh akhir hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, China, gandingan juara dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan pasangan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin selepas tewas 21-9, 11-21, 17-21 dalam pertarungan selama 58 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei gagal menyaingi pencapaian edisi lalu apabila mereka muncul naib juara kejohanan.

Ee Wei berkata ini merupakan kejohanan terakhirmereka pada tahun ini dan beliau menyatakan kepuasan terhadap prestasi keseluruhan, walaupun permulaan tahun mereka diwarnai keputusan sederhana.

Mereka tetap komited antara satu sama lain dan berlatih dengan tekun setiap hari.

“Untuk kejohanan terakhir ini, saya rasa kami telah melakukan yang terbaik. Namun, kami perlu belajar daripada lawan mengenai cara menguruskan situasi ketika mata penting dipertaruhkan.

“Itulah realiti sebagai seorang atlet. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk kejohanan akan datang,” katanya melalui rakaman audio BWF selepas perlawanan itu.

Sementara itu, Tang Jie berkata beliau amat menantikan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun kerana ia hanya diadakan setiap empat tahun sekali, menjadikannya impian setiap atlet untuk mencatat kejayaan di kejohanan tersebut.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619