Thailand, Kemboja setuju hadir mesyuarat Menteri Luar Asean di KL minggu depan - PM

17 Dis 2025, 1:52 PM
Thailand, Kemboja setuju hadir mesyuarat Menteri Luar Asean di KL minggu depan - PM

PUTRAJAYA, 17 DIS: Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Disember ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif yang diusahakan oleh Malaysia dan Asean itu bertujuan mengendurkan ketegangan serta mengelakkan sebarang peningkatan konflik di sepanjang sempadan Thailand - Kemboja.

Menurut Anwar, mesyuarat itu akan membolehkan Asean berbincang secara kolektif, menentukan fakta sebenar di lapangan, serta mempergiat usaha memujuk kedua-dua pihak untuk menghentikan serangan di barisan hadapan, bermula dengan gencatan senjata serta-merta.

"Kami merayu kepada mereka supaya menghentikan serangan di barisan hadapan ini dengan segera dan jika boleh, gencatan senjata serta-merta.

"Mereka kurang senang dengan istilah gencatan senjata kerana ia seolah-olah menunjukkan persetujuan mereka. Jadi, jika anda lihat kenyataan saya, saya menggesa semua pihak untuk mematuhi gencatan senjata ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Rabu dalam sesi taklimat selama sejam bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa mengenai prestasi tahun 2025 dan prospek untuk tahun hadapan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Anwar berkata Malaysia tidak berada dalam kedudukan untuk mengeluarkan "arahan" kepada menteri-menteri luar, namun pemimpin dan menteri Asean sentiasa berhubung rapat melalui penglibatan di pelbagai peringkat.

"Saya tidak memberikan arahan kepada menteri-menteri luar, tetapi kami berkomunikasi hampir setiap hari," tegas beliau.

Anwar berkata keputusan untuk mengadakan mesyuarat itu menyusul selepas rundingan berterusan dengan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja. Beliau turut dimaklumkan mengenai perkembangan terkini oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menghubunginya mengenai perkara itu.

"Presiden Trump menghubungi saya dan memberikan maklumat terkini. Saya memberitahu Presiden Trump bahawa adalah penting untuk meyakinkan mereka supaya menghentikan serangan," katanya.

Beliau berkata walaupun tarikh itu telah dipersetujui lebih awal, kedua-dua Perdana Menteri pada mulanya berhati-hati untuk mengadakan rundingan terlalu awal jika ketegangan di lapangan belum reda, namun kini kedua-dua negara telah bersetuju untuk hadir pada 22 Disember.

"Anda lihat dalam kalangan pihak yang sedang bertelagah, selalunya sukar untuk membawa mereka duduk berbincang. Namun di sini, atas inisiatif Malaysia dan Asean, mereka telah bersetuju untuk hadir," katanya.

Anwar berkata pandangan kolektif menteri-menteri luar Asean adalah penting dalam memujuk kedua-dua pihak menghentikan permusuhan sebelum beralih kepada perbincangan mengenai parameter jangka sederhana dan panjang bagi penyelesaian secara aman.

Beliau menambah bahawa Thailand dan Kemboja juga telah bersetuju dengan penempatan Pasukan Pemerhati Asean, selain memaklumkan Panglima Angkatan Tentera Malaysia akan berlepas ke sempadan dalam masa beberapa hari lagi untuk meneruskan libat urus di peringkat ketenteraan.

Anwar berkata penglibatan Malaysia akan diteruskan melalui pelbagai saluran, termasuk komunikasi antara pemimpin, menteri-menteri luar dan panglima angkatan tentera masing-masing.

"Saya kekal optimis dan berhati-hati kerana apabila saya bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri, mereka berhasrat untuk mencapai penyelesaian damai secepat mungkin," katanya sambil berharap menjelang 22 Disember ini, Asean dapat membantu memeterai persefahaman, tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619