LUAS bina ibu pejabat konsep 'penjaga sungai' di pinggir Sungai Klang

17 Dis 2025, 9:57 AM
LUAS bina ibu pejabat konsep 'penjaga sungai' di pinggir Sungai Klang
LUAS bina ibu pejabat konsep 'penjaga sungai' di pinggir Sungai Klang

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Selepas 25 tahun ditubuhkan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bakal memiliki ibu pejabat sendiri yang akan dibina di pinggiran Sungai Klang, dengan konsep 'penjaga sungai' (guardian of the river).

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata bangunan empat tingkat di atas tanah seluas 2.3 ekar di Kota Kemuning, Shah Alam itu dijangka memperkukuh lagi keupayaan operasi LUAS sebagai agensi pengurusan sumber air negeri.

Izham berkata, projek pembangunan ibu pejabat LUAS yang mempunyai reka bentuk mesra alam itu akan dimulakan awal tahun depan dengan kos RM65 juta, serta dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Tempat itu kita sudah kenalpasti antara yang terbaik. Ia mempunyai implikasi tersendiri, iaitu kita mahu tunjukkan pembangunan berasaskan sungai ini boleh dimajukan.

“Sungai Klang ini kita sedang laksanakan projek rejunavasi, pemuliharaan dan sebagainya. Semua projek ini kita mahu beri gambaran bahawa sungai ini boleh dijadikan tema pembangunan dan bukan tempat pembuangan sampah,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau menyaksikan penyempurnaan perjanjian jual beli bangunan ibu pejabat LUAS antara agensi itu dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) serta Berjaya Land Sdn Bhd di Hotel Berjaya Times Square di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Izham menjelaskan konsep 'penjaga sungai' dipilih bagi mencerminkan peranan LUAS sebagai pengawal selia sumber air dalam memastikan kelestarian alam sekitar di Selangor.

Menurutnya, kedudukan ibu pejabat LUAS di pesisiran Sungai Klang juga diharap dapat membantu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menyokong pelaksanaan projek Selangor Maritime Gateway (SMG).

“LUAS menjaga sumber air kita dan meletakkan kompleks ibu pejabat dalam kawasan itu sendiri, menghantar mesej yang serius mengenai pembangunan pesisiran sungai kita,” katanya.

Pada 2018, Kerajaan Negeri melancarkan projek SMG sebagai inisiatif untuk membersih, memulihara dan membangunkan Sungai Klang yang tercemar.

LLSB, sebuah anak syarikat milikan penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), telah dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi merancang dan mengurus pelaksanaan projek.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619