PM: Anwar mahu anggota kabinet khidmat dengan rendah hati, bergerak pantas

17 Dis 2025, 9:13 AM
PM: Anwar mahu anggota kabinet khidmat dengan rendah hati, bergerak pantas
PM: Anwar mahu anggota kabinet khidmat dengan rendah hati, bergerak pantas
PM: Anwar mahu anggota kabinet khidmat dengan rendah hati, bergerak pantas

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan anggota Kabinet untuk terus bekerja dengan berdisiplin, bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan Madani bergerak dengan pantas.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau mahu semua barisan menteri berkhidmat dengan penuh kerendahan hati, berintegriti serta sampai kepada rakyat tanpa lengah dan sebarang alasan.

“Ini adalah Kabinet penerus kehendak rakyat yang memikul amanah besar, menuntut tindakan segera, keputusan berani serta keupayaan menterjemah kehendak dan nurani setiap lapisan masyarakat menjadi dasar yang berfungsi dan dirasai, bukan sekadar retorik,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri turut berkongsi beberapa keping gambar mesyuarat Kabinet Madani yang berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara hari ini.

Untuk rekod, ini merupakan mesyuarat Kabinet pertama Jemaah Menteri Kerajaan Madani selepas pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri semalam.

Semalam, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Madani melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu sebagai langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.

Selain pertukaran portfolio menteri sedia ada, ia antara lain melibatkan enam timbalan menteri dan satu muka baharu yang diangkat sebagai menteri penuh.

Rombakan Kabinet yang pertama Kerajaan Madani pimpinan Anwar dilaksanakan pada Disember 2023.

Tujuh menteri termasuk dua yang baharu dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, di sini hari ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619