Negeri harap akta sisa pepejal, pembersihan awam dimuktamad segera, tangani isu kebersihan

15 Dis 2025, 11:01 AM
Negeri harap akta sisa pepejal, pembersihan awam dimuktamad segera, tangani isu kebersihan
Negeri harap akta sisa pepejal, pembersihan awam dimuktamad segera, tangani isu kebersihan
Negeri harap akta sisa pepejal, pembersihan awam dimuktamad segera, tangani isu kebersihan
Negeri harap akta sisa pepejal, pembersihan awam dimuktamad segera, tangani isu kebersihan

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan Negeri berharap pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dapat dimuktamadkan segera sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap isu kebersihan awam di Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata, akta berkenaan disasarkan untuk dimuktamadkan menjelang September 2026 sebagai sebahagian daripada reformasi menyeluruh pengurusan kebersihan negeri.

“Pelaksanaan Akta 672 penting untuk penyeragaman dan keberkesanan kerja pembersihan dan kutipan sisa pepejal di seluruh negeri secara sistematik,” katanya kepada Media Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Suee Lim berkata, pembinaan kemudahan Waste-to-Energy (WTE) turut dikenal pasti sebagai antara solusi jangka panjang bagi mengatasi gangguan kutipan sampah terutama ketika cuaca tidak menentu.

“WTE boleh membantu melancarkan jadual kutipan sampah, khususnya apabila operasi di tapak pelupusan sedia ada terjejas akibat faktor cuaca. Ia juga menjimatkan masa kutipan secara lebih konsisten dan ekonomik,” jelasnya.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berucap dalam Majlis Anugerah Kampung Baru Negeri Selangor 2025 pada 5 November 2025 di Hotel Wyndham Acmar Klang . Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut meneliti kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyelaras pengurusan pembersihan di kawasan awam tertentu yang kini berada di luar bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“PBT sering jadi sasaran aduan walaupun ada kawasan di bawah selenggaraan JKR. Jadi kita sedang teliti agar dapat diselaraskan,” ujarnya.

Antara cadangan termasuk menyerahkan penyelenggaraan kawasan tertentu kepada syarikat konsesi bersama peruntukan berkaitan supaya operasi dapat dijalankan lebih berkesan.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata Kerajaan Negeri merancang memperluas penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), khususnya di kawasan yang sering menjadi lokasi pembuangan sampah haram.

Katanya, peranan masyarakat penting dalam usaha ini dengan menyalurkan maklumat kepada PBT atau pihak berkuasa berkaitan.

“Jika ternampak ‘ulat sampah’, orang ramai boleh rakam dan salurkan ke sistem aduan. Kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya sambil menegaskan kepentingan pendidikan sivik serta penglibatan komuniti.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619