Kerajaan optimis tamatkan kemiskinan tegar sebelum suku pertama 2026

7 Dis 2025, 6:23 AM
Kerajaan optimis tamatkan kemiskinan tegar sebelum suku pertama 2026
Kerajaan optimis tamatkan kemiskinan tegar sebelum suku pertama 2026

PUTRAJAYA, 7 DIS: Kerajaan MADANI optimis menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini menjelang suku pertama tahun depan hasil pelaksanaan pelbagai program bersasar yang dipantau rapi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kadar kemiskinan tegar kini susut kepada 0.09 peratus, sekali gus menjadi antara yang terendah dalam kalangan negara membangun.

“Malaysia menjadi satu-satunya negara merekodkan kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar, tidak di Amerika Syarikat, Eropah kerana terlantar (rakyat) di pinggir-pinggir bandar itu masih tinggi jumlahnya.

“Saya sudah maklumkan kepada pegawai serta Unit Penyelarasan, jumlah ini terlalu kecil dan kita mampu selesaikan sebelum suku pertama 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Rancakkan MADANI bersama Malaysiaku, yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.

Anwar turut menegaskan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, didorong pertumbuhan 5.2 peratus pada suku ketiga, antara yang tertinggi di rantau Asia.

“Prestasi ringgit dan aliran pelaburan asing juga meningkat, manakala perdagangan negara mencatat pertumbuhan 4.4 peratus dengan nilai kumulatif RM2.335 trilion.

‘Ini pencapaian membanggakan. Malaysia negara sederhana dengan penduduk sekitar 34.5 juta tetapi mampu mencatat perdagangan kumulatif melebihi RM2 trilion,” ujarnya lagi.

Program Rancakkan MADANI menyediakan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, termasuk karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada pengunjung.

Ia merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan secara langsung kerajaan kepada rakyat.

Serentak dengan penganjuran tersebut, turut berlangsung Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, menghimpunkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam serta pemain industri.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu melepasi sasaran lebih 300,000 pengunjung, dan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu serta 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619