AGENDA

Anwar: Tiada diskriminasi, usaha basmi kemiskinan libat semua kaum

21 Dis 2024, 12:30 PM
Anwar: Tiada diskriminasi, usaha basmi kemiskinan libat semua kaum

SUBANG, 21 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan agar segala naratif berkaitan pemprofilan perkauman dalam isu pemberian bantuan dan usaha pembasmian kemiskinan tegar di negara ini dihentikan segera.

Beliau berkata dasar kerajaan adalah jelas, iaitu memberi bantuan tanpa sebarang diskriminasi kaum dalam usaha menangani kemiskinan tegar.

“Sebab itu, saya sangat tidak setuju dengan ’racial profiling’ (pemprofilan perkauman). Jika anda lihat dasar saya sejak dulu, ketika saya di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), saya menentang Dasar Ekonomi Baru dari sudut penekanan ‘racial profiling’,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab dakwaan segelintir pihak yang mendakwa peruntukan tambahan RM130 juta untuk masyarakat India sebagai tidak mencukupi.

Beliau menjelaskan bahawa peruntukan RM130 juta itu hanyalah sebahagian daripada bantuan untuk kaum tersebut, yang turut merangkumi beberapa inisiatif di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Perdana Menteri berkata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan juga sudah diberikan arahan untuk menambah lebih banyak inisiatif di bawah kementerian itu bagi komuniti India, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Anwar turut meluahkan kekesalan terhadap pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman dengan mengatakan kononnya Melayu terancam di bawah pimpinan Kerajaan MADANI selain masyarakat India dipinggirkan dan tidak diberi perhatian oleh kerajaan.

Beliau berkata ada juga pihak yang mendakwa beliau sebagai zalim dengan menuduh kononnya menganaktirikan negeri-negeri pembangkang, sedangkan Kerajaan Persekutuan telah berlaku adil dengan memastikan peningkatan perbelanjaan bagi semua negeri di bawah pentadbiran pembangkang.

Katanya ini dibuktikan antaranya dengan peningkatan pemberian negeri yang disalurkan Kerajaan Persekutuan, seperti Perlis yang meningkat kepada RM215.97 juta pada tahun hadapan, Kedah (RM532.07 juta), Kelantan (RM429.05 juta), dan Terengganu (RM450.12 juta).

Anwar berkata selain itu, terdapat juga peningkatan dalam peruntukan projek pembangunan termasuk projek tebatan banjir di Perlis iaitu sebanyak RM15 juta pada tahun hadapan, Kedah (RM132 juta), Kelantan (RM146.19 juta) dan Terengganu (RM77.1 juta).

Bagi projek bekalan air pula, Perlis bakal disalurkan RM11 juta pada tahun hadapan, Kedah (RM78.6 juta), Kelantan (RM515.6 juta) dan Terengganu RM2.6 juta, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619